KEADILAN bantah keras arahan MKN tangguh kongres


MAJLIS KESELAMATAN NEGARA (MKN) mengeluarkan arahan supaya kongres tahunan KEADILAN yang dijadualkan berlangsung secara maya hari ini ditangguhkan.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Setiausaha Pengelola KEADILAN juga merangkap Pengarah Kongres itu, Nik Nazmi Nik Ahmad lewat petang semalam.

Tidak sekadar itu, arahan serupa secara lisan turut diterima daripada Jabatan Pendaftaran pada hari sama.

Arahan itu menurut Ahli Parlimen Setiawangsa itu adalah bertentangan dengan keputusan MKN sebelum ini.

“Arahan terbaru MKN ini bertentangan dengan surat mereka bertarikh 27 Mei lalu yang menyatakan bahawa mereka tiada halangan terhadap penganjuran Kongres Nasional KEADILAN secara dalam talian sepenuhnya.

“KEADILAN merakam bantahan keras tetapi terpaksa akur dengan arahan ini dan majlis pimpinan pusat membuat keputusan untuk menangguhkan kongres nasional parti ke satu tarikh yang akan diumumkan kemudian,” katanya dalam kenyataan.

Sebagai rekod, Kongres tahunan kali ini mencatat sejarah tersendiri apabila pertama kali dijalankan secara maya sepenuhnya.

Kongres yang dimulakan pada Jumaat dijadualkan berakhir hari ini.

Ia dimulai dengan persidangan Wanita dengan ucapan oleh

Penasihat KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail merasmikan persidangan sayap wanita pada Jumaat dan diikuti ucapan dasar Ketua Wanita Fuziah Salleh.

Manakala, Angkatan Muda KEADILAN (AMK) meneruskan kongres itu pada Sabtu dengan ucapan dasar oleh Ketuanya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir melalui aplikasi Zoom dengan disertai kira-kira 200 perwakilan.

Arahan didakwa bertentangan keputusan sebelum ini
Sepatutnya, Presiden parti Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan menyampaikan ucapan dasar pada Ahad iaitu hari ini.

Sementara itu, di media sosial, warganet terutama penyokong parti itu mempersoalkan mengapa MKN mengeluarkan arahan itu, memandangkan kongres diadakan secara maya yang tidak memungkinkan Covid-19 dapat menular.

Post a Comment

0 Comments