'Adakah anda benar-benar jujur nak buka parlimen?'

Oleh: HASSAN ABDUL KARIM | Menteri-menteri Perikatan Nasional (PN) nampaknya tidak sekata dalam isu bilakah masanya untuk parlimen dibuka semula.

Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin tidak bersetuju parlimen dibuka semula sekarang kecuali selepas imuniti kelompok daripada vaksin Covid-19 dicapai.

Maksudnya, lama lagilah baru parlimen boleh bersidang kembali. Itu adalah pandangan seorang menteri merangkap setiausaha agung Bersatu. Pada masa sama kita tahu Bersatu amat takut jika parlimen bersidang semula.

Menteri PN yang lain - yang menjaga hal-ehwal parlimen dan undang-undang - Takiyuddin Hassan semalam pula menyatakan kerajaan sedang mengkaji konsep dan mekanisme ke arah perlaksanaan sidang parlimen secara hibrid.

Maknanya ada kemungkinan sidang parlimen akan dibuka. Cuma entah bila.

Sebagai seorang ahli parlimen yang ada kepentingan dalam soal asas demokrasi berparlimen di negara ini, saya terpanggil untuk memberi ulasan.

Pertama saya nampak, kerajaan PN pimpinan Muhyiddin Yassin memang bercelaru dalam soal bilakah parlimen akan dibuka semula. Untuk mereka menutup dan menggantung parlimen ia dilakukan dengan begitu mudah sekali, tetapi mengapa apabila hendak membukanya semula, ia menjadi susah sangat?

Dewan kini tertutup rapat


Kepada pandangan Hamzah, saya tidak berminat untuk mengulas. Hal parlimen bukan urusannya. Kita tidak galakkan wujudnya menteri busy-body yang mencampuri urusan menteri lain.

Hal parlimen berada dalam bidang kuasa Takiyuddin. Dia bukan ahli parlimen dari Bersatu. Dia seorang yang dilatih sebagai peguam. Dia faham dan mengerti konsep serta prinsip asas demokrasi berparlimen, peranan parlimen, soal pengasingan kuasa, sistem semak dan imbang, serta pelbagai konvensyen perundangan keperlembagaan yang mudah difahami atau yang sukar lagi abstrak tetapi fundamental.

Kepada Takiyuddin serta Yang Dipertua Dewan Rakyat, Yang Dipertua Dewan Negara, dan timbalan-timbalan yang dipertua yang bermesyuarat pada 4 Jun lalu, saya berasa amat musykil.

Justeru saya tanyakan beberapa soalan di sini, sementelah pula kerana ruang kami ahli parlimen untuk menyoal di dalam dewan kini ditutup rapat.

Soalan Pertama: Sudah lima bulan parlimen digantung, hanya baru sekarang bermesyuarat untuk bincang kemungkinan ia akan dibuka secara hibrid. Maksudnya ia adalah gabungan kehadiran secara fizikal dan juga maya.

Kenapa tidak bincangkan hal ini sebelum parlimen digantung? Kenapa tidak bincangkan sebaik sahaja parlimen digantung? Lima bulan masa telah berlalu sia-sia.

Soalan Kedua: Takiyuddin, Yang Dipertua Dewan Rakyat Azhar Harun, Yang Dipertua Dewan Negara Rais Yatim, Timbalan-timbalan yang dipertua Dewan Rakyat (Azalina Othman Said dan Rashid Hasnon) hampir kesemuanya mempunyai latar belakang undang-undang.

Adakah anda menyedari dalam keadaan biasa (bukan darurat) adalah satu kesalahan undang-undang mengikut Kanun Keseksaan jika ada sesiapa mengganggu perjalanan urusan parlimen dan mengganggu sistem demokrasi berparlimen di negara ini?

Sangat mengecewakan setelah lima bulan berlalu, baru sekarang pihak yang disebut di atas berbincang mengenai aspek infrastruktur, teknikal, undang-undang, peraturan dan kewangan sekiranya sidang parlimen secara hibrid itu akan diadakan.

Soalan Ketiga: Mengapa lembam dan perlahan sangat? Anda semua adalah pemegang amanah menjaga institusi parlimen, tunggak asas sistem demokrasi berparlimen di negara ini.

Kami ahli parlimen yang lain dan rakyat Malaysia meletakkan amanah ke atas bahu anda untuk mempertahankan institusi parlimen.

Tahukah bahawa anda telah gagal melaksanakan tanggangjawab secara fidusiari? Jika bukan kerana darurat, ia adalah kegagalan yang bersifat kesalahan jenayah.

Soalan Keempat:
Kepada nama-nama besar yang disebut di atas, yang membawa gelaran Tan Sri dan Datuk kurniaan negara dan negeri, adakah anda benar-benar jujur untuk membuka semula parlimen?

Atau adakah mesyuarat yang anda lakukan pada Jumaat lepas dan kenyataan media oleh Takiyuddin sekadar public relation atau lip service saja? Seperti melepaskan batuk di tangga?

Takiyuddin dilaporkan Sinar Harian pada 5 Jun seperti berikut: “Mesyuarat turut memutuskan supaya kajian lebih terperinci dibuat segera bagi menyediakan kertas lengkap yang akan diangkat dalam waktu terdekat untuk pertimbangan dan kelulusan jemaah menteri.”

Soalan Kelima: Sudah lima bulan parlimen digantung dan dinafikan hak bersidang. Sekarang masih perlu dibuat kajian lebih terperinci lagi? Selama ini tidak dikaji? Kaji secara terperinci yang macam mana lagi?

Cuma pada dasar

Dengan rendah diri, saya mohon menyatakan bahawa isu yang sebesar gajah di dalam bilik yang menghalang anda semua membuka parlimen ialah kerana wujudnya Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) yang Kabinet Darurat kerajaan PN gubal dan jadikan undang-undang darurat di bawah dekri Yang di-Pertuan Agong. Itu isu sebenarnya.

Kalau nak buka Parlimen, maka batalkan dahulu undang-undang darurat tersebut. Anda semua yang menjadi pemegang taruh parlimen yang bijaksana, tidak perlulah berlari mengelilingi belukar kecil, seolah-olah tidak nampak isu yang sebenar.

Kalau tak faham, tanyalah peguam negara, penasihat undang-undang kepada kerajaan.

Soalan Keenam:
Kalau kertas lengkap yang dikatakan oleh Takiyuddin itu siap dan diangkat ke mesyuarat kabinet untuk kelulusan, adakah pasti kerajaan PN akan bersetuju dengan cadangan untuk membuka semula parlimen sekarang?

Rasa-rasanya menteri lain seperti Hamzah tentu bersedia untuk menolak cadangan dari Takiyuddin itu.

Takiyuddin sebenarnya secara subconscious seperti tidak yakin dengan cadangannya sendiri apabila menyatakan dia dan lain-lain yang bermesyuarat pada 4 Jun lalu “pada dasarnya bersetuju dengan pelan konsep parlimen hibrid ini”.

Rakyat tunggu dan perhatikan
Maksudnya mereka baru bersetuju pada dasarnya sahaja. Itulah hasil mesyuarat orang besar parlimen Malaysia. Sekadar bersetuju pada dasarnya sahaja.

Soalan Ketujuh dan terakhir: Apakah Takiyuddin, Azhar, Rais, Azalina dan Mohd Rashid yang menjadi pemegang taruh institusi parlimen mempunyai keazaman politik yang kuat untuk mendesak sehingga berjaya menuntut Kabinet Darurat PN membuka semula Parlimen Malaysia secara hibrid?

Sama-samalah kita perhatikan.

HASSAN ABDUL KARIM ialah Ahli Parlimen Pasir Gudang dan bekas Pengerusi KEADILAN negeri Johor

Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Kartelmedia.

Post a Comment

0 Comments