Tidak mustahil HARAPAN kerjasama dengan Umno - Abdullah Sani


SEORANG pemimpin kanan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) tidak menolak berlaku kerjasama antara Pakatan Harapan (HARAPAN) dengan Umno pada masa depan.

Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid dipetik satu laporan media hari ini berkata kemungkinan itu sesuatu yang perlu diambil kira, jika Umno akhirnya keluar daripada Perikatan Nasional (PN).

"Lepas Parlimen bersidang, langkah seterusnya ialah cari keabsahan," katanya dipetik laporan Malaysiakini.

Pandangan itu menyusul isu 'khemah besar' dibangkitan Setiausaha Agung parti itu, Datuk Seri Saifuddin Nasution yang berkata, HARAPAN boleh bekerjasama dengan mana-mana parti, termasuk Umno, jika mereka menerima agenda reformasi.

Desas desus kerjasama HARAPAN terutama KEADILAN dengan Umno pernah dibangkitkan sebelum ini terutama selepas Menteri Besar Perak dari Bersatu,  Ahmad Faizal Azumu disingkirkan dari jawatan itu susulan undi percaya oleh seorang wakil rakyat Umno.

DAP walau bagaimanapun dilihat sedikit keberatan untuk bekerjasama dengan Umno,

Sementara itu jelas Abdullah Sani, kedua-dua pihak boleh bersama-sama membentuk kerajaan atau seperti yang dicadangkan di Perak sebelum ini, iaitu rundingan perjanjian keyakinan dan pembekalan (confidence and suppy agreement, CSA).

Katanya, kerjasama dengan Umno boleh dibuat menerusi rundingan, selepas darurat tamat pada Ogos ini atau sebelum PRU akan datang.

"Apa yang berlaku di Perak - itulah yang dimaksudkan dengan jajaran baru." katanya.

Abdullah berkata dia tidak kisah sama ada Umno menyokong kerajaan baru mahupun menjadi sebahagian daripadanya, dan berharap DAP juga tidak akan ada masalah dengannya.


 Jajaran baru tidak mustahil akan berlaku


"Kita mahu bangunkan negara. Saya hargai jika DAP dan Umno dapat bekerja bersama," katanya sambil menekankan dalam politik, tiada yang kekal sebagai kawan atau musuh.


Ahli Parlimen Kapar itu turut menjelaskan bahawa kemungkinan kerjasama itu hanya pandangan peribadinya tetapi menekankan yang ia selaras dengan kenyataan Presiden parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Post a Comment

0 Comments