PERTUBUHAN Reformasi Pilihan Raya , Bersih 2.0 menegaskan bahawa tidak ada keperluan untuk Majlis Gerakan Negara (MAGERAN), seperti yang diusulkan Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Yang di-Pertuan Agong ditubuhkan.
Melalui satu kenyataan, jawatankuasa penaja Bersih berkata, cadangan itu sekiranya dilaksanakan hanya akan melumpuhkan lagi peranan Parlimen.
Justeru tegas mereka, Parlimen perlu dibuka semula dan diberi kuasa untuk memerangi Covid-19.
"Platform paling sesuai bagi membincangkan jalan untuk Malaysia keluar daripada wabak Covid-19 dan kesannya kepada sosio-ekonomi rakyat adalah dengan membenarkan semula parlimen bersidang dan berjalan.
"Dalam tempoh darurat kini, segala kuasa berpusat kepada eksekutif dan segala tindakan serta arahan daripada mereka tidak dapat disemak dan imbang secara berkesan kerana tidak ada keperluan untuk eksekutif menjawab persoalan-persoalan yang dibangkitkan oleh wakil-wakil rakyat,” kata kenyataan itu.
Mengambil contoh Darurat yang gagal menurunkan angka Covid-19 harian sehingga langkah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 terpaksa dilaksana sehingga memberi kesan ekonomi negara dan rakyat, Bersih menegaskan bahawa menubuhkan Mageran 2.0 adalah tindakan yang kebelakang kerana sekali lagi kuasa akan berpusat kepada pihak tertentu tanpa sistem semak dan imbang serta tidak melibatkan peranan semua pihak.
"Dengan proklamasi darurat, peranan cabang ketiga kerajaan ini telah dilumpuhkan apabila parlimen dan Jawatankuasa Khas Parlimen tidak dibenarkan bersidang dalam tempoh ini.
"MAGERAN 2.0 tidak diperlukan kerana apa yang utama sekarang adalah untuk menamatkan darurat segera supaya kerajaan dan pembangkang dapat memainkan peranan yang sewajarnya.
Perbahasan di parlimen dan pengawasan jawatankuasa pilihan khas parlimen akan menambah baik segala program kerajaan seperti Program Immunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV)," tambah mereka.
Dr Mahathir Mohamad sebelum ini mendedahkan dia telah mengusulkan penubuhan pentadbiran seperti MAGERAN semasa hadir bertemu Yang di-Pertuan Agong pada 10 Jun.
Media melaporkan Mahathir telah menawarkan dirinya memperngerusikan Majlis tersebut.
Sementara itu, Bersih dalam kenyataan itu juga mereka menggesa Kerajaan Persekutuan untuk segera memulakan rundingan perjanjian keyakinan dan pembekalan (confidence and suppy agreement, CSA) bersama pembangkang dengan objektif melawan pandemik ini secara bersama.
Ia juga tegas mereka dapat membantu menstabilkan politik negara dengan melakukan reformasi dan konsesi yang berkaitan.
"Sekiranya Kerajaan Perak di bawah Menteri Besar Datuk Saarani Mohamad dapat mencapai kerjasama dengan ketua pembangkang di Perak di bawah pimpinan Datuk Dr Abdul Aziz Bari, apakah yang menghalang Perdana Menteri Muhyiddin Yasin untuk berbincang bersama Ketua Pembangkang di Parlimen iaitu Anwar Ibrahim?
"Model ala CSA di Perak seperti peruntukan pembangunan kawasan (CDF), jawatankuasa tindakan daerah yang melibatkan pembangkang dapat dikembangkan di peringkat persekutuan dengan membenarkan jawatankuasa pilihan khas parlimen untuk bersidang dan mengawasi tindakan kerajaan.
"CSA yang dijalinkan sewajibnya diumumkan kepada rakyat agar rakyat mengetahui apakah terma-terma dan reformasi-reformasi yang dipersetujui antara kerajaan dan pembangkang. Buka Parlimen pilihan terbaik
"Kita mampu keluar dari pandemik ini dengan selamat sekiranya semua pihak bergabung tangan dan bekerjasama dengan jujur dan bersungguh-sungguh," jelasnya mereka lagi.
0 Comments