Ruang udara diceroboh, HARAPAN tuntut taklimat khas




JAWATANKUASA Keselamatan Pakatan Harapan (HARAPAN) memandang serius isu pencerobohan ruang udara Malaysia oleh Tentera Udara Republik Rakyat China (PLAAF) seperti didedahkan Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad semalam.

Melalui satu kenyataan, jawatankuasa itu berkata bahawa berdasarkan Strategi Pertahanan Menyeluruh (HANRUH), insiden itu bukan sahaja mengancam keselamatan penerbangan malah mencabar kedaulatan negara dan boleh menjejaskan hubungan antarabangsa.

Tambah mereka lagi, tanggungjawab memelihara keselamatan negara bukan sahaja terletak atas bahu anggota keselamatan semata-mata tetapi juga seluruh warganegara Malaysia.

"Insiden ini jelas menunjukkan bahawa walaupun dunia dilanda wabak COVID,ancaman konvensional terhadap negara tetap menjadi duri dalam daging negara kita.

Memandang serius isu tersebut, jawatankuasa dipengerusikan bekas Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu itu mencadangkan bahawa Menteri Pertahanan mengadakan sesi taklimat khas dwipartisan yang melibatkan pihak kerajaan dan pembangkang.

Sesi taklimat itu mernurut mereka penting bagi menjelaskan langkah-langkah seterusnya dan keperluan ATM semasa untuk mencegah pencerobohan yang lain selain membenarkan ahli-ahli Parlimen membincangkan insiden mustahak ini demi kepentingan negara.

"Jawatankuasa akan menulis kepada Menteri Pertahanan untuk menganjurkan taklimat rasmi bersama Panglima Angkatan Tentera dan Panglima Tentera Udara bagi menghadapi isu kedaulatan negara secara bersama," tegas mereka lagi.

Semalam Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mengesahkan bahawa 16 buah pesawat Tentera Udara Republik Rakyat China (PLAAF) telah memasuki Zon Maritim Malaysia (ZMM), khususnya memasuki Wilayah Maklumat Penerbangan (Flight Information Region) Kota Kinabalu dan menghampiri ruang udara nasional pada 31 Mei 2021.

Menurut TUDM, pesawat PLAAF tersebut dikesan menerusi radar pertahanan udara pada jam 11.53 pagi, dan gagal mematuhi arahan untuk menghubungi kawalan trafik udara FIR Kota Kinabalu. TUDM seterusnya menggerakkan pesawat pejuang ringan Hawk 208 daripada No 6 Skuadron, Pangkalan Udara Labuan setelah pesawat PLAAF tersebut melangkaui ruang udaranasional.

Pesawat-pesawat tersebut telah dikenalpasti sebagai jenis Ilyushin Il-76 dan pesawat Xi’an Y-20; kedua-duanya merupakan pesawat pengangkut berat.

Program pemodenan ATM perlu disegerakan
Pengerusi HARAPAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kenyataan segera di laman Facebooknya turut mengecam pencerobohan itu, selepas media sebelum ini melaporkan kebenaran diberikan untuk pesawat pengintip milik Israel menggunakan ruang udara negara.

BACA:
Anwar tuntut penjelasan k'jaan PN

Tegasnya, kejadian seperti itu ternyata amat membimbangkan serta menimbulkan kecurigaan dan keresahan terhadap kedaulatan negara serta keselamatan ruang udara Malaysia.

Susulan itu beliau mendesak menteri Luar, Hishammuddin Hussein segera mendesak penjelasan dari China.

Sementara itu Jawatankuasa itu melalui kenyataan yang turut ditandatangani bekas Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong dan Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul turut menggesa kerajaan melaksanakan program pemodenan ATM berlandaskan Kertas Putih Pertahanan 2019 dengan kadar segera.

Post a Comment

0 Comments