AHLI PARLIMEN Gua Musang, Tengku Razaleigh Tengku Mohd Hamzah mengkritik Yang Dipertua Dewan Rakyat Azhar Harun sebagai gagal dan punca menyebabkan institusi Parlimen tidak lagi dihormati rakyat.
Melalui satu surat dihantar kepada Azhar dan kemudian didedah kepada umno, Tengku Razaleigh turut menggesa supaya Azhar menjalankan tanggungjawabnya seperti apa dilafazkannya ketika dia mengangkat sumpah jawatan.
Beliau rurut membangkitkan isu keabsahan Presiden Bersatu, Mahiaddin Md Yasin sebagai perdana menteri.
"Satu-satunya tugas penting yang diliputi janji itu ialah memastikan calon perdana menteri - jawatan (berperlembagaan) terkanan dengan pelbagai kuasa - disokong Dewan Rakyat dan bersih daripada korupsi politik.
"Perdana menteri sekarang ini tidak mempunyai mandat Dewan Rakyat untuk mendapat hak keperlembagaan terhadap jawatan beliau.
"Dewan Rakyat pula tidak diberi hak melaksanakan tugas perlembagaannya untuk menentukan sama ada beliau berhak menjadi perdana menteri yang bersih daripada korupsi politik," katanya dalam surat tersebut seperti dilapor media.
Selain itu tambahnya, usul-usul yang dikemukakan ke Dewan Rakyat dianggap sebagai tidak berguna kerana speaker tidak melaksana tugas sebaliknya membenarkan seorang menteri kabinet menentukan sama ada ia boleh dibahaskan atau tidak.
"Ini bermakna tugas Dewan Rakyat tidak dihiraukan dan sekali gus bercanggah dengan sumpah jawatan.
"Maka dengan itu timbullah kemelut lompat-melompat parti. Keadaan ini memalukan Dewan Rakyat, ia seolah-olah dipersenda.
"Di samping itu rakyat menganggap dewan yang mulia itu sudah kehilangan maruah.
"Orang ramai tidak percaya wakil rakyat yang mungkir janji terhadap ikrar mereka dipilih berasaskan sesuatu sebab atau prinsip tertentu," katanya lagi.Azhar Harun digesa tunai sumpah jawatan
Sebagai rekod, pada 27 Mac, Tengku Razaleigh yang juga adalah Pengerusi Jemaah Penasihat Umno mendedahkan bahawa beliau tidak menandatangani akuan bersumpah (SD) bagi menyokong Mahiaddin sebagai perdana menteri kerana menghormati Perlembagaan Persekutuan.
0 Comments