Kerajaan PN macam keretapi tanpa pemandu - Kadir Jasin


TOKOH wartawan negara, Datuk A Kadir Jasin sekali lagi tampil mengkritik kelemahan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Melalui satu hantaran di laman Facebooknya, beliau menyifatkan kerajaan dikepalai Ahli Parlimen Pagoh, Mahiaddin Md Yasin seperti kereta api rosak brek, tanpa pemandu atau pemandunya sedang tidur.

Katanya, dahulu beliau meletakkan harapan tinggi pada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Khairy Jamaluddin, namun sejak menjadi menteri yang mengurus vaksinasi dalam kerajaan PN, beliau mula curiga kepada menteri Umno itu.

“Khairy Jamaluddin bertindak sebagai jurucakap kerajaan apabila dia mengumumkan yang Perdana Menteri, Mahiaddin Md Yasin, akan umumkan satu lagi skim bantuan untuk orang ramai.

“Tak apalah sebab PN pun dah lama jadi macam kereta api rosak brek, tanpa pemandu atau pemandu tidur. Orang putih kata, runaway train.

“Sepatutnya Khairy tumpu kepada usaha mendapatkan bekalan vaksin Covid-19 dengan secukupnya dan rancakkan kempen vaksinasi,” katanya dalam hantaran tersebut.

A Kadir sementara itu mengingatkan bahawa sememangnya menjadi tanggungjawab pokok kepada mana-mana kerajaan pun untuk membantu rakyat ketika kesusahan.

Menurutnya, ramai orang yang ekonominya telah jatuh merudum sehingga tiada wang untuk mendapatkan makanan dan semua pihak terutama kerajaan wajib membantu mereka.

 Kerajaan perlu bertanggungjawab bantu rakyat
Namun apa yang lebih penting katanya, kerajaan perlu bina semula ekonomi rakyat secara menyeluruh bermula dengan pemberian vaksin kepada semua pekerja, termasuk pekerja asing, dan membuka semula ekonomi seluas-luasnya.

"Jika rakyat tidak diberikan peluang mencari pendapatan, mereka tetap juga akan mati akibat kebuluran kerana akhirnya semua orang perlu mencari makan," katanya.
 

Post a Comment

0 Comments