K'jaan perlu perihatin pada nasib doktor kontrak, kata Anwar


PENGERUSI
Pakatan Harapan (HARAPAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersoalkan komitmen ditunjukkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terhadap pegawai perubatan kontrak.

Ia susulan tindakan sekumpulan doktor kontrak yang merancang melancarkan hartal pada akhir bulan Julai sekiranya kerajaan Perikatan Nasional gagal menyelesaikan beberapa isu yang dihadapi mereka.

melalui satu kenyataan media, Anwar yang juga adalah Presiden KEADILAN berkata, isu kebajikan seharusnya dipandang serius, kerana ia melibatkan jaminan pekerjaan dan peluang bagi mengembangkan kerjaya.

“Pemerintah seharusnya segera menyelesaikan soal faedah yang tidak sepadan yang dilaporkan para petugas kesihatan.

“Adalah sangat tidak wajar apabila pegawai perubatan kontrak tidak mendapat faedah yang sama seperti pegawai tetap yang lain.

“Amalan dua darjat seperti ini tidak harus diamalkan tatkala beban tugas yang dipukul insan-insan ini sangat berat di saat pandemik, dan KKM mesti ambil langkah yang lebih proaktif dan prihatin terhadap kebajikan mereka,” katanya dalam kenyataan itu.

Melalui satu kenyataan hari ini, kumpulan itu yang dianggotai pegawai perubatan muda berkata, ketiadaan jaminan pekerjaan dan peluang pengembangan kerjaya adalah antara sebab mereka melancarkan hartal.

"Laluan kerjaya doktor hanya boleh meningkat dengan mengikuti program 'master' atau menduduki peperiksaan seperti MRCS, MRCP, MRCph dan sebagainya.

"Kami tidak dapat promosi kerjaya berdasarkan jangka masa perkhidmatan kami," kata kenyataan yang disiarkan oleh pengguna Twitter @avenfauzi menggunakan tanda pagar #HartalDoktorKontrak.

 Malaysiakini yang dipetik laporannya turut diberitahu bahawa rancangan hartal itu turut dicetuskan kenyataan Menteri Kesihatan Dr Adham Baba pada 23 Jun yang mempertahankan pengambilan berdasarkan kontrak yang bermula pada Disember 2016.

 Anwar tuntut jawapan menteri
Sementara itu dalam kenyataan, Anwar menuntut menteri bertanggungjawab untuk segera menjawab persoalan-persoalan tersebut dan menangani permasalahan serta pulihkan kepercayaan mereka.

“Di saat kemelut seperti hari ini, kita sangat memerlukan komitmen dan semangat mereka, justeru hal kebajikan mereka bukan perkara yang boleh dipandang remeh,” katanya.

Post a Comment

0 Comments