PENGGUNA media sosial mula menggerakkan kempen #BenderaPutih sebagai tanda solidariti bagi membantu individu yang berdepan kesukaran dan memerlukan pertolongan sepanjang Perintah Sekatan Perjalanan (PKP) dilaksanakan.
Dilihat sebagai tanda kemarahan dan kekecewaan rakyat atas kelemahan kerajaan Perikatan Nasional (PN) mentadbir negara, kempen itu mula dikongsikan warganet di Facebook, Instagram dan Twitter ketika negara berdepan peningkatan kes bunuh diri akibat tekanan dihadapi sepanjang pendemik.
Naikkan bendera putih jika perlu bantuan, tidak perlu merayu dan malu. Jangan ambil tindakan yang merugikan diri dan orang tersayang,” kata kempen itu.
Berbanding peringkat awal pentadbiran retoriknya, Kerajaan pimpinan Mahiaddin Md Yasin kini disifatkan sebagai kerajaan paling gagal mentadbir negara dan dianggap tidak berupaya mengelak lebih ramai rakyat jadi mangsa kepada krisis ekonomi, politik dan pentadbiran negara dengan baik.
Dengan jangkitan dilaporkan masih berada diatas angka 5,000 kes, rakyat terus menyatakan hilang percaya terhadap PN, tambahan darurat telah diumumkan dan beberapa siri sekatan perjalanan telah disambung.
PN yang mengambil alih kerajaan yang dipilih rakyat melalui 'Langkah Sheraton' tahun lalu terus dikecam rakyat susulan Parlimen masih tidak bersidang walaupun telah dititahkan demikian oleh Yang Dipertuan Agong.
Ketua Penerangan Wanita Pakatan Harapan, Senator Aiman Athirah Al Jundi menyambut baik kempen awam Kibarkan Bendera Putih yang digerakkan pihak yang prihatin.
Beliau yang juga Ketua Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) Nasional turut menyeru orang ramai terutama ahli parti itu untuk tampil memberi bantuan terhadap pihak yang memerlukan.
“Saya juga ingin memaklumkan bahawa kami dari AMANAH dan khususnya AWAN sangat gembira untuk turut serta dalam menjayakan kempen bantuan awam ini.
“Mana-mana rumah yang terputus bekalan makanan dan memerlukan bantuan segera, sila kibarkan bendera putih.”
“Saya menyeru kepada rakan-rakan ahli AMANAH, khususnya AWAN agar terus cakna kepada rakyat di persekitaran kita, sekaligus bersegera menghulurkan bantuan yang bersesuaian dan diperlukan oleh mana-mana rumah yang mengibarkan Bendera Putih,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, bekas menteri kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad, turut berkongsi di Facebook mengenai pemberian bantuan terhadap individu yang mengibarkan bendera putih di kawasan Dewan Undangan Negerinya, Kota Iskandar.
“Sebaik dapat berita ada penduduk Kota Iskandar yang mengibarkan bendera putih, Ketua Cawangan Amanah Taman Pulai Indah Azam Mekhtar segera ke rumah, menghulurkan bantuan kewangan. Rakyat sekali lagi jaga rakyat
“Saya segera mengarahkan pegawai pusat khidmat DUN Kota Iskandar, Ustaz Muhammad Syafiq pergi ke rumahnya dan menyampaikan bakul makanan dan tunai.
“Mudah-mudahan keluarga (penerima) dapat mengharungi masa-masa yang getir ini dengan kesabaran,” katanya.
0 Comments