Wakil rakyat hairan kasino Genting terus beroperasi ketika PKP

 


MENGAPA kasino di Genting Highlands dibenarkan beroperasi sepanjang perintah kawalan pergerakan (PKP), sedangkan orang ramai dilarang makan dalam premis restoran?, soal dua wakil rakyat Pakatan Harapan.

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago yang dipetik laporan portal FMT berkata beliau merasa 'sangat curiga' dengan operasi di pusat perjudian itu dan ingin tahu siapa yang mengunjungi kasino ini ketika larangan perjalanan antara negeri dan antara daerah masih berkuat kuasa.
 

“Macam mana orang boleh dapat kebenaran untuk pergi ke Genting? Kedua, siapa yang memantau interaksi sosial di kasino? Adakah SOP benar-benar dipatuhi di sana? Adakah jarak fizikalnya mencukupi?

“Ini jelas tidak adil untuk restoran. Saya benar-benar simpati kepada pemilik restoran ketika ini; Saya tak tahu bagaimana mereka akan bertahan,” kata Ahli Parlimen DAP itu dipetik laporan tersebut.

Charles turut mengingatkan bahawa tujuan pelaksanaan PKP adalah untuk mengekang interaksi sosial antara orang ramai.

Tambahnya kasino adalah kawasan tertutup yang berisiko lebih besar menyebarkan virus berbanding kawasan terbuka dengan pengudaraan yang baik dan interaksi sosial pasti berlaku di kasino antara pekerja, penjudi dan lain-lain.

FMT dalam laporannya berkata, panduan operasi Resorts World Genting di laman webnya yang dikemaskini kurang seminggu selepas PKP di seluruh negara diumumkan menyatakan bahawa Genting Casino, Genting Club dan Genting Club Private Gaming tetap terbuka tetapi untuk ahli Genting Rewards sahaja.
 
Sementara itu ADUN Semambu, Pahang,  Lee Chean Chung menegaskan bahawa tidak sepatutnya ada dwistandard dengan SOP PKP.
 
Ketua bendahari KEADILAN itu berkata dia turut merasa bingung kerana kasino Genting beroperasi ketika perjalanan merentas negeri adalah dilarang.

Pendedahan bahawa pusat perjudian itu masih meneruskan operasinya turut menarik perhatian pemain industri penyediaan makanan.

Shankar Santhiram, pengasas The Fire Grill di TTDI, berkata PKP sekarang ini dilihat lebih kepada “PKP industri F&B”.

“Tak boleh makan dalam premis, tapi nampaknya kasino boleh beroperasi. Tak boleh makan dalam premis tapi industri dan kilang masih dibuka dan beroperasi, walaupun ia menyumbang kepada kluster terbesar negara.

Kebenaran kasino beroperasi tidak adil


“Ramai orang melihat pemilik restoran seolah mementingkan diri sendiri dan tidak mahu ‘berkorban’. Ini sama sekali tidak benar. Kebanyakkan daripada kami dalam industri ini memahami dan bersetuju rantaian jangkitan perlu diputuskan," katanya dipetik laporan itu.

Beliau turut mengakui merasa seperti menjadi mangsa apabila mengetahui kasino dibuka untuk pelanggan.

Post a Comment

0 Comments