Pengendali petisyen isyhtihar 'kemenangan' lepas Tajuddin dipecat


AHLI
Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman dipecat sebagai pengerusi Prasarana Malaysia Bhd, berkuat kuasa serta-merta.

Perkara itu dinyatakan dalam sepucuk surat yang ditandatangani Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz yang beredar dikalangan pengamal media petang semalam.

"Dimaklumkan bahawa Menteri Kewangan telah bersetuju agar perkhidmatan YB Dato's Sri sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) ditamatkan berkuat kuasa serta merta," tulis surat yang dialamatkan kepada Tajudin itu.

Dipetik laporan media, jurucakap Kementerian Kewangan ketika dihubungi mengesahkan surat itu.

Tajuddin sebelum ini dikritik kerana ketiadaanya di lokasi pada malam dimana dua tren LRT laluan Kelana Jaya bertembung yang mengakibatkan 64 orang dikejarkan ke hospital - enam daripadanya dalam keadaan kritikal.

Pemimpin Umno itu yang kemudian melawat lokasi kemalangan pada sebelah pagi Selasa berkata pada malam kejadian kerana dia baru saja selesai mesyuarat dan ingin bersiap untuk mendapatkan dos kedua vaksin Covid-19.

Kemudian dalam sidang media mengenai insiden itu, Tajuddin ketika menjawab pertanyaan wartawan mengenai situasi di lokasi kemalangan berkata "normal ... hanya dua tren bersama, saling bercium ..." dan kemudian ketawa kecil.

Jawapan Tajuddin dan cara dia mengendalikan sidang media berhubung kemalangan itu mendapat kritikan dari warganet, yang kemudiannya mengundang gesaan agar dia berundur daripada Prasarana.

Persatuan Pengguna Pengangkutan Awam (4PAM) sejak terlebih awal menggesa supaya Tajuddin dipecat serta merta dari mempengerusikan syarikat rangkaian pengangkutan awam Malaysia dibawah Menteri Kewangan Diperbadankan itu kerana lewat mengeluarkan kenyataan atau mengunjungi lokasi bencana yang disifatkan terburuk dalam sejarah pengangkutan sistem tren negara.
 
Warganet turut melancarkan satu petisyen atas talian di laman web Change.org bagi menggesa Tajuddin berundur.

Petisyen "#LetakJawatanTajuddin", itu setakat petang semalam telah melepasi sasaran mereka dengan mengumpul hampir 140,000 tandatangan.

"Kegagalan dan tiada rasa sensitif & empati oleh Tajudin Abdul Rahman, Pengerusi PRASARANA dalam menguruskan mangsa tragedi LRT pada 24 Mei yang lalu telah membuktikan beliau sama sekali tidak layak menjawat jawatan sebagai Pengerusi PRASARANA.

Sikap Tajuddin diritik warganet
"Sikap beliau yang sombong, angkuh dan bongkak jelas terpancar ketika sesi sidang media yang dibuat oleh beliau sejurus melawat ke kawasan tragedi.," tulis petisyen itu.

Susulan pemecatan Tajuddin, pengendali petisyen itu mengisytiharkan "kemenangan" dengan menyiarkan pesanan ringkas "Kemenangan! TAJUDDIN TELAH DIPECAT !!! ”

Sebagai rekod, Polis juga dilapor sedang menyiasat Tajuddin kerana tidak memakai pelitup muka ketika sidang media berkaitan kemalangan itu.

Post a Comment

0 Comments