KUMPULAN pendesak reformasi pilihan raya, Bersih 2.0 menyeru Parlimen diberikan kuasa meluluskan pelantikan utama jawatan di syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan badan berkanun berkaitan komersial.
Gesaan itu dibuat melalui satu kenyataan yang menegaskan bahawa Jawatankuasa Pilihan Parlimen harus diberi kuasa untuk meneliti dan meluluskan mana-mana pencalonan bagi jawatan pengerusi dan pengarah badan terbabit.
Selain itu, mereka turut menyeru supaya undang-undang baharu digubal bagi mendefinisikan GLC dan GLIC dengan lebih jelas, yang kemudian boleh diguna pakai di peringkat negeri dan persekutuan.
“Ini akan menjadi asas untuk melembagakan pembaharuan yang berkaitan dengan proses dan keperluan pelantikan pengarah GLC kerana ia dapat membawa pembaharuan kepada proses pelantikan.,” kata kenyataan itu.
Dalam kenyataan itu juga, Bersih menegaskan kepentingan GLC dan GLIC tidak diterajui wakil rakyat atau lantikan politik, baik di peringkat negeri mahupun persekutuan.
Justeru mereka mencadangkan pembaharuan dilakukan bagi menggubal Akta GLC baharu atau meminda undang-undang berkaitan seperti Akta Syarikat yang melarang pelantikan wakil rakyat dalam sesebuah organisasi berkaitan kerajaan.
Pembaharuan seperti itu kata Bersih adalah sangat diperlukan kerana kuasa sekarang sangat tertumpu di tangan eksekutif, terutamanya Perdana Menteri.
![]() |
Langkah kekang penyalahgunaan kuasa |
Bersih turut menggesa supaya maklumat penting seperti imbuhan, latar belakang pengarah dan tawaran tender mesti didedahkan dalam laporan berkala mengenai GLIC atau GLC yang tersenarai atau tidak tersenarai bagi meningkatkan ketelusan.
0 Comments