PEMUDA Pakatan Harapan (HARAPAN) mendesak Amerika Syarikat (AS) menghentikan pemberian dana ketenteraan dan penjualan senjata api kepada Israel.
Tuntutan itu disuarakan ketuanya, Shazni Munir Mohd Ithnin ketika menyerahkan memorandum kepada Kedutaan negara itu di Kuala Lumpur selepas solat Jumaat semalam.
Melalui memorandum itu, Amerika Syarikat didesak untuk memastikan Israel mematuhi gencatan senjata dengan pejuang Hamas terutamanya apabila melihat Israel mempunyai kecenderungan melanggar perjanjian gencatan senjata seperti yang berlaku pada tahun 2014.
Sebagai rekod, dalam tempoh kurang 24 jam setelah gencatan senjata diumumkan, rejim Zionis itu melanggar gencatan tersebut semalam apabila bertindak menyerbu dataran masjid Al Aqsa selepas jemaah selesai menunaikan solat Jumaat.
Menurut sumber Mydan al-Quds tentera Israel dilaporkan telah menembak peluru getah dan gas pemedih mata ke arah jemaah selepas solat.
“Kami juga menyeru agar Kerajaan Amerika Syarikat menyemak semula hubungan diplomatiknya dengan negara penjenayah Israel dan menghentikan sebarang penjualan senjata api dan dana ketenteraan kepada Israel.
“Rekod menunjukkan, Kerajaan Amerika Syarikat memberi dana sebanyak US$3.8 bilion setiap tahun kepada negara penjenayah Israel.
“Kami juga mengambil maklum usaha yang diambil Presiden Amerika Syarikat, Mr. Joe Biden bersama dengan Kerajaan Mesir dalam mencapai gencatan senjata yang sangat penting ini walaupun kami percaya bahawa ia sepatutnya berlaku jauh lebih awal selepas lebih daripada 200 orang Palestin termasuk wanita dan juga kanak-kanak terkorban dan ribuan yang lain tercedera," tegas Pemuda HARAPAN.
Shazni berkata, mereka berdiri teguh bersama resolusi yang dicadangkan di dalam Dewan Senat Amerika Syarikat oleh Senator Bernie Sanders bahawa Kerajaan Amerika Syarikat menghentikan rancangan menjual senjata sebanyak US$735 Juta kepada Israel.
“Kami percaya bahawa ia tidak pernah lebih jelas bahawa Israel telah melakukan pelbagai kesalahan hak asasi manusia dan jenayah perang selama ini.
![]() |
AS digesa henti bersekongkol dengan Israel |
Sepanjang 11 hari konflik Israel Palestin, seramai lebih daripada 240 orang telah terbunuh, termasuk lebih 100 orang kanak-kanak dan wanita.
Krisis yang memuncak pada akhir Rramadhan itu menyebabkan beribu penduduk Palestin tercedera, berpuluh ribu yang kehilangan tempat berteduh serta beratus bangunan termasuk hospital, bangunan penempatan dan menara media yang telah musnah, kebanyakannya di Gaza.
0 Comments