PEMUDA Pakatan Harapan (HARAPAN) menggesa Setiausaha Agung parti Bersatu, Hamzah Zainuddin direhatkan sementara dari menjalankan tugas sebagai Menteri Dalam Negeri.
Semalam, kumpulan diketuai Shazni Munir Mohd Ithnin membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung beberapa isu mutakhir seperti didedahkan bekas ketua polis negara (IGP) Tan Seri Abdul Hamid Bador dalam kenyataannya.
Mereka menuntut supaya Hamzah disiasat susulan beberapa isu termasuk rakaman perbincangan membabitkan Hamzah tentang pelantikan "budak kita" dalam pasukan polis.
Juga berhubung kenyataan Abdul Hamid yang dilaporkan mendakwa Hamzah bukan sahaja secara keterlaluan mencampuri urusan polis, malah cuba menggunakan jabatan cawangan khas (JCK) untuk kepentingan politik dirinya.
"Kita menggesa SPRM untuk menyiasat dakwaan serius oleh Abdul Hamid. Dia bukan calang-calang orang tetapi bekas IGP.
"Kita rasa dakwaan olehnya ada merit yang perlu dipandang serius oleh pihak penguat kuasa khususnya SPRM," katanya di bangunan SPRM Kuala Lumpur.
Shazni diiringi Naib Ketua Pemuda KEADILAN Syed Badli Shah Syed Osman dan Ketua Pemuda DAP Howard Lee Chuan How, serta beberapa penyokong.
Sementara itu, Syed Badli menggesa Muhyiddin Yassin memberi respon terhadap isu membabitkan Hamzah.
"Kami minta perdana menteri untuk ambil tindakan merehatkan Hamzah daripada jawatan. Ini berikutan terlalu banyak laporan terhadapnya," tegas Syed Badli.
Difahamkan, Abdul Hamid sebelum ini berkata, beliau telah beberapa kali memaklumkan tindak tanduk Hamzah kepada Muhyiddin, namun tiada tindakan diambil.
Sebelum ini Hamzah dikritik selepas satu rakaman membincangkan isu pelantikan dalam pasukan polis tular. Ia dianggap sesetengah pihak sebagai campur tangan dalam pasukan itu.
Melalui audio itu, individu dipercayai Hamzah memberi gambaran pihaknya akan mendapat manfaat baik dengan melantik seorang 'budak' yang rapat dengan pihaknya.
"Because (kerana) dia budak kita, budak Perak, family (keluarga) semua kat sana and it will be very good for us (baik untuk kita),” kata rakaman itu.
Walaupun dikritik, pada 30 April, Hamzah mengaku bahawa suara itu adalah miliknya.
Sementara itu, Howard Lee berkata, siasatan terhadap menteri terbabit perlu bagi memulihkan negara daripada krisis keyakinan yang dihadapi kerajaan sekarang.
![]() |
Mahu tindakan dikenakan terhadap Hamzah |
"Mereka menggunakan kuasa muktamad dan tidak boleh dipertikaikan untuk memperalatkan institusi kerajaan yang sepatutnya membantu rakyat dan memperkasa demokrasi, (tetapi digunakan) untuk menindas rakyat dan mematikan demokrasi," kata bekas Exco kerajaan Perak itu dipetik.
0 Comments