Pakar sokong strategi tangguh dos kedua


SEORANG pakar perubatan menyokong gesaan supaya kerajaan menunda suntikan dos kedua vaksin Covid-19 bagi digunakan untuk menvaksin lebih ramai rakyat di negara ini.

Dr Zainal Ariffin Omar yang merupakan Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia dipetik laporan media sebagai berkata bahawa strategi itu adalah keperluan mendesak pada ketika ini dan mampu memberi faedah besar.

Beliau mengesyorkan strategi pemberian vaksin diubah dengan menumpukan lokaliti berisiko tinggi, berbanding mengikut fasa ketika ini.

"Kerajaan seharusnya lebih memfokuskan kepada kawasan berisiko tinggi seperti Lembah Klang yang menjadi punca peningkatan ketara jangkitan Covid-19 dalam usaha mempercepatkan pencapaian imuniti kelompok.

“Dengan pelaksanan perintah kawalan pergerakan, ia boleh dibuat dengan cepat dan rantaian boleh diputuskan serta penggunaan sumber manusia boleh dioptimumkan

“Jika perlu, gerakkan semua sumber untuk berikan vaksin di kawasan risiko tinggi. Mungkin juga boleh pertimbangkan langkah mandatori (untuk divaksin),” kata bekas pengarah Kesihatan Negeri Pahang itu dipetik laporan FMT.

Beliau turut mencadangkan agar proses pendaftaran dan temu janji menerusi aplikasi MySejahtera dipermudah, terutama bagi golongan warga emas.

Terdahulu, Majlis Presiden Pakatan Harapan (HARAPAN) dalam satu kenyataan menggesa kerajaan menimbangkan pelaksanaan “strategi tunda dos kedua” dalam memerangi peningkatan mendadak kes Covid-19 ketika negara berdepan isu kekurangan bekalan vaksin.

strategi sama digunakan di United Kingdom pada November 2020 dan difahamkan semakin banyak negara menangguhkan dos kedua, termasuk Singapura dan India bagi membolehkan lebih ramai rakyat mereka disuntik vaksin dos pertama.

Gesaan itu disokong hasil kajian terbaharu oleh Universiti Birmingham dengan kerjasama Bahagian Kesihatan Awam England yang mendapati pemberian vaksin Pfizer BioNTech yang ditunda selama 12 minggu selepas dos pertama berbanding suntikan selepas tiga minggu, menghasilkan tindak balas antibodi yang jauh lebih kuat.

Pengerusi Selangor Task Force Covid-19, Dzulkefly Ahmad dalam kenyataan lain pula berkata, langkah melindungi seberapa ramai rakyat Malaysia dengan vaksin adalah perkara paling mustahak ketika ini berbanding menjaga kumpulan yang lebih kecil, iaitu mereka yang akan melengkapkan dos kedua.

“Amat mustahak untuk kerajaan Perikatan Nasional melaksanakan strategi ini, memandangkan bekalan (vaksin) semakin meruncing dan langkah melindungi sebahagian besar rakyat adalah lebih mustahak tidak mengira apa pun jenis vaksin yang digunakan,” katanya.

Dalam pada itu, bekas menteri kesihatan itu berkata, Putrajaya sejak awal lagi gagal menyelesaikan krisis kesihatan ini setelah gagal bersaing dalam mendapatkan bekalan vaksin lebih awal berbanding negara serantau.

“Kenapa kerajaan PN lembab dan lewat sangat? Apakah alasan yang boleh mereka berikan,” katanya.

Vaksin lebih ramai rakyat adalah lebih penting
Putrajaya turut dipersoal kerana hanya mengehadkan penggunaan tiga vaksin, iaitu Pfizer, Sinovac dan AstraZeneca dalam program vaksinasi negara.


“Seandainya kita mempunyai portfolio vaksin yang lebih luas, termasuk Moderna, Sputnik-V dan Johnson & Johnson, maka peluang untuk mendapatkan bekalan lebih awal pastinya lebih cerah.” tambah Dzulkefly lagi.

Post a Comment

0 Comments