Nahas LRT paling teruk, bekas Menteri gesa tubuh 'taskforce' bebas


BEKAS  Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook mengambil maklum kejadian kemalangan membabitkan dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) malam tadi yang menyebabbkan lebih 200 orang tercedera.

Melalui satu kenyataan, Ahli Parlimen Seremban itu menggesa satu agar pasukan petugas khas ditubuhkan untuk menyiasat punca nahas terbabit.

Walau bagaimanapun tegasnya, pasukan itu perlu dianggotai pakar-pakar bebas.

"Kemalangan yang melibatkan 2 tren LRT laluan Kelana Jaya malam tadi merupakan kemalangan tren yang sangat serius dan paling teruk dalam sejarah LRT sejak beroperasi pada 1998.

"Memandangkan kejadian ini menyebabkan kecederaan orang awam, saya menyeru pihak polis membuat siasatan secara mendalam dan sekiranya ia melibatkan kecuaian manusia, tindakan pendakwaan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 mesti diambil segera.

"Selain siasatan polis, taskforce siasatan yang ditubuhkan Kementerian Pengangkutan mesti terdiri daripada pakar-pakar bebas bidang tren dan diberi kebebasan sepenuhnya untuk menyiasat semua aspek dalam kemalangan tersebut," tegas beliau.

Pemimpin DAP itu turut menggesa agar laporan tersebut nanti diumumkan kepada orang ramai secara telus.

"Tindakan susulan untuk memperbaiki segala kelemahan mesti diambil serta merta untuk mengembalikan keyakinan orang ramai terhadap aspek keselamatan dalam sistem pengangkutan awam negara," tambahnya lagi.

Dalam masa sama, Loke melalui kenyataan itu juga merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh pasukan penyelamat yang terdiri daripada pihak bomba, pihak polis dan para petugas kecemasan dari hospital berdekatan yang berjaya menyelamatkan semua mangsa terbabit.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.45 malam tadi, dua tren LRT bertembung akibat brek mengejut dalam terowong berdekatan stesen KLCC dan Kampung Bharu.

Hasil siasatan mesti didedahkan dengan telus
Ia membabitkan tren bernombor 240 yang sedang dipandu uji dan 181 yang membawa 213 penumpang.

Seramai 47 penumpang dilapor parah dalam kejadian itu dan 166 lagi mengalami cedera ringan dalam nahas tersebut.

BACA: Tren LRT bertembung, lebih 200 penumpang cedera

Sebelumnya rakaman selepas kejadian tular di media sosial dengan beberapa penumpang dilihat terbaring diatas lantai tren yang ada kesan serpihan kaca dan darah mangsa.

Post a Comment

0 Comments