Hadkan masa di pusat beli belah tak efektif kekang Covid-19 - Pakar


PERATURAN kerajaan yang menhad tempoh dua jam untuk pelanggan berada di premis runcit dan pusat beli belah dikritik kerana dilihat tersasar dari objektif mengekang penularan Covid-19.

Dr Lee Boon Chye yang merupakan bekas Timbalan Menteri Kesihatan dipetik laporan FMT berkata pendidikan awam mengenai bahaya Covid-19, adalah jauh lebih baik berbanding peraturan yang mahu dilaksana kerajaan itu.

Tambahnya, tindakan menghadkan masa seseorang individu untuk berada di pusat membeli belah adalah peraturan 'pramatang' yang tidak masuk akal bagi mencapai objektif untuk tidak menggalakkan rakyat keluar rumah.

“SOP yang ditetapkan mestilah jelas dan konsisten. Untuk pusat beli-belah yang besar tentu sahaja tidak mudah untuk memantau pergerakan keluar masuk dan membezakan antara pekerja dan pelanggan,” tambah beliau.

Ahli Parlimen Gopeng itu turut menegaskan bahawa kaedah itu sukar dilaksanakan kerana hanya terdapat pendaftaran untuk memasuki sesebuah premis, tetapi tiada pendaftaran ketika keluar.

Malah tambahnya, keputusan kerajaan untuk hanya membenarkan waktu perniagaan beroperasi dari jam 8 pagi hingga 8 malam akan memaksa pelanggan untuk membeli barang keperluan mereka selepas waktu bekerja iaitu antara jam 5 petang hingga 8 malam.

Situasi itu tegasnya akan menyebabkan keadaan menjadi lebih sesak dan jangkitan akan lebih mudah berlaku.

Sementara itu menurut laporan sama,  Presiden Persekutuan Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Malaysia (FPMPAM), Dr Steven Chow berkata memendekkan tempoh membeli beli-belah tidak akan mengurangkan risiko jangkitan Covid-19.

Jelasnya, hanya pelaksanaan Perintah Kawalan pergerakan (PKP) dan langkah pencegahan yang sewajarnya akan dapat membendung penularan virus.

“Semua pengurusan mikro tingkah laku manusia ini tidak efektif buat masa ini.

“Malaysia sedang berdepan dengan angka kes yang cukup tinggi antara 6000 hingga 7000 kes sehari, bersamaan dengan ribuan kes jangkitan baharu setiap hari.

“Bagi setiap kes yang disahkan, sekurang-kurangnya 3 ke 10 adalah kes yang tidak dapat dikesan dalam komuniti,” kata beliau dengan menegaskan bahawa hanya dengan pengesanan kontak secara menyeluruh mampu memutuskan rantaian jangkitan.

Kerajaan dikepalai Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa pelanggan dibenarkan menghabiskan masa sehingga dua jam di semua premis, termasuk pusat beli belah sementara perniagaan hanya dibenarkan beroperasi dari jam 8 pagi hingga 8 malam.

Ini termasuk restoran, kiosk, warung, kedai serbaneka, kedai dobi, kedai optik, pusat cuci kenderaan dan juga salon.

Tidak mudah pantau pergerakan keluar masuk
Ketua Pembangkang di Parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini mahu kerajaan menjelaskan keputusan mereka berdasarkan data dan sains.

"Misalnya, bagaimana potong waktu operasi kedai makan ke pukul 8 dapat kurangkan jangkitan?.. Apakah ini didukung oleh sains?

"Ia hanya akan tambah kesesakan, bebankan peniaga dan penghantar makanan," katanya di media sosial.

Post a Comment

0 Comments