K'jaan digesa lanjut tempoh operasi kedai makan hingga 10 malam

 


LAGI pihak mempersoal SOP ditetapkan kerajaan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang sedang dikuatkuasa ketika ini.

Terbaharu, Persatuan Pemilik Restoran India Malaysia (Primas) mempersoalkan alasan disebalik sekatan yang menghendaki semua premis makanan ditutup pada jam 8 malam.

Presidennya, J Suresh dipetik laporan FMT berkata, pelaksanaan sekatan itu hanya menyusahkan pengusaha restoran, perkhidmatan penghantaran makanan malah pelanggan.

“Sukar bagi pengendali (kedai makan) kerana mereka harus mengambil pesanan terakhir pada jam 7 malam sebelum perlu segera menutup restoran mereka,” kata dipetik laporan portal itu.

Sebagai rekod, pada pelaksanan PKP 2.0, isu berkaitan tempoh operasi premis makan dan kedai runcit dibangkitkan banyak pihak.

Malaysiakini dalam laporan pada Januari lalu yang memetik pandangan orang ramai termasuk penghantar makanan dan pelanggan berharap pelonggaran itu dapat dilanjutkan kepada tempoh operasi tersebut, sekurang-kurangnya kepada pukul 10 malam.

"Bila dapat tahu restoran buka sampai lapan malam saja, saya terus terfikir sempat atau tidak untuk beli makanan sebab waktu habis kerja pun tak menentu.

"Bagi yang penat pulang kerja, tentulah tak ada masa untuk masak sendiri," kata seorang kerani yang dikenali sebagai Ain, 25 tahun dalam laporan ketika itu.

Keputusan kerajaan memendekkan tempoh operasi kedai makan ketika itu turut dibantah Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma).

Primas sendiri ketika itu menegaskan bahawa pelanggan tiada tempoh masa mencukupi untuk membeli makanan selepas waktu bekerja.

Suresh dalam kritikan terbaharunya berkata adalah mustahil untuk premis ditutup jam 8 malam terutama ketika pesanan banyak dibuat.

Malah larangan itu juga dilihat akan membahayakan nyawa penumpang penghantaran makanan kerana mereka perlu bergegas bagi memenuhi pesanan terakhir mereka.

Sehubungan itu, mendesak kerajaan mempertimbangkan untuk melanjutkan waktu operasi sebagai langkah penyelesaian iaitu sehingga 10 malam.

“Saya cadangkan kerajaan melihat semula perkara ini dengan serius dan membiarkan restoran beroperasi sehingga sekurang-kurangnya jam 10 malam.” katanya. 

Gesaan serupa pernah dibuat sebelum ini
Sementara itu, Setiausaha Agung Kesatuan Kebangsaan Pekerja Hotel, Bar dan Restoran Semenanjung, Rusli Affandi dipetik laporan serupa berkata, peraturan ketat di bawah PKP ketiga adalah tidak masuk akal baginya.

“PKP 3.0 adalah satu sindiran. Apa gunanya sekatan sekiranya kerajaan menerapkan amalan dua darjat dalam menegakkan undang-undang dan mengekang penyebaran Covid-19?” katanya dipetik.


Post a Comment

0 Comments