Bila PN nak bentang RUU Akta Gangguan Seksual, soal AMK


MENTERI
Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dituntut agar segera menjelaskan kepada rakyat mengenai status usaha penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Gangguan Seksual.

Melalui satu kenyataan, Angkatan Muda KEADILAN menegaskan bahawa usaha untuk menggubal undang-undang tersebut telah memakan masa lebih dari 20 tahun dan tidak boleh ditangguhkan lagi.

"Rina Harun selaku menteri yang bertanggungjawab dalam hal penggubalan undang-undang berkaitan Akta Gangguan Seksual ini diminta untuk menjelaskan status usaha tersebut dan memberikan cadangan garis masa hingga RUU Akta Gangguan Seksual ini dapat direalisasikan," kata ketuanya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Akmal yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru sebelumnya merujuk kenyataan Rina pada Febuari lalu bahawa draf rang undang-undang itu dalam "tahap akhir" dan dijangka dibentangkan selepas Ogos, sebaik Parlimen kembali bersidang.

Namun kenyataan Rina ketika itu dikritik Timbalan Presiden Pertubuhan Pemerkasaan Keluarga, Fadhlina Sidek yang berkata, tiada jaminan diberikan kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk RUU itu dibentangkan.

“Isunya bila beliau umumkan Mac baru siap, kita semua tahu RUU tidak akan terlaksana melainkan selepas dibentangkan di Parlimen. Isunya sama ada Parlimen akan bersidang atau tidak untuk melaksanakan RUU ini?

“Itu kebimbangan kami. Kalau setakat buat pengumuman ia akan siap tapi tiada jaminan ia akan dibentangkan di Parlimen, maka kita melihat bahawa RUU ini tidak mempunyai hala tuju jelas,” katanya dipetik laporan Buletin Awani ketika itu.

Rina perlu jelaskan bila nak bentang RUU
Isu mengenai keperluan RUU itu digubal susulan kembali hangat setelah media melaporkan pendedahan beberapa atlet renang bahawa mereka telah mengalami serangan dan gangguan seksual.
 
Untuk rekod, Pakatan Harapan (HARAPAN) melalui Datuk Seri Wang Azizah Wan Ismail sebagai menteri berkaitan merancang untuk membentangkan RUU yang mampu melindungi hak dan kehormatan wanita pada Mac tahun lalu.

Namun usaha itu terhenti apabila kerajaan HARAPAN ditumbangkan melalui 'langkah Sheraton'.

Post a Comment

0 Comments