K'jaan digesa jelaskan pelan vaksinasi fasa kedua


WANITA Pakatan Harapan (HARAPAN) menuntut Kerajaan dikepalai Muhyiddin Yassin agar menyatakan dengan jelas bagaimana pelan Vaksinasi fasa kedua yang melibatkan warga Emas dan kumpulan rentan akan dilaksanakan.
 
Dalam kenyataan bersama, Chong Eng, Fuziah Salleh dan Aiman Athirah Sabu turut mempersoalkan bila jangkaan fasa tersebut akan berakhir.

Jelas mereka, Malaysia mencapai imunisasi kelompok apabila 75% penduduk menerima vaksin dan negara boleh diisytihar selamat daripada jangkitan Covid-19, malangnya ia masih jauh daripada sasaran.

“Umum tahu bahawa sejak ia dilancarkan dengan suntikan pertama vaksin Pfizer-BioNtech yang diberi kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada 24 Februari 2021, ia menyaksikan bukan hanya jumlah mereka yang mendaftar masih rendah bahkan kadar penerima suntikan vaksin COVID 19 ini juga masih terlalu rendah dengan capaian hanya sekitar 4-5% populasi,” jelas mereka.

Sebagai rekod,  Program vaksinasi melaui PICK ( Pelan Immunisasi COVID-19 Kebangsaan) telah pun kini masuk ke fasa kedua.

Ia akan melibatkan warga emas berusia 60 tahun ke atas, kumpulan rentan dengan masalah morbiditi seperti yang berpenyakit kanser dan kencing manis, termasuklah juga warga kurang upaya (OKU).

Melalui kenyataan itu juga, mereka menggesa kerajaan mendedahkan berapa ramai yang akan terlibat dan bagaimana pengagihan vaksin dilakukan.

Malah meminta penjelasan apa mekanisma yang akan digunakan untuk mengesan golongan ini supaya mereka tidak tertinggal daripada menerima vaksin.

Wanita hamil perlu diberi keutamaan


“Kami juga melihat vaksinasi kepada golongan rentan yang spesifik seperti wanita hamil harus juga diberi keutamaan.


“Ibu-ibu ini wajib didaftarkan terus ke dalam program vaksinasi apabila mereka hadir ke klinik rawatan Ibu mengandung," kata mereka dengan menyarankan agar Vaksin jenama Pfizer yang dianggap paling selamat diberikan untuk wanita Hamil dan anak di dalam kandungan.


Post a Comment

0 Comments