Mahkamah arah Raja Petra bayar RM600,000 kepada Lim Guan Eng

 


PESURUHJAYA Kehakiman ahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan penulis blog Raja Petra Raja membayar ganti rugi RM600,000 kepada bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Mohd Arief Emran Arifin membuat perintah itu semasa memutuskan taksiran ganti rugi yang diperoleh Guan Eng pada prosiding secara dalam talian semalam berhubung saman fitnahnya terhadap Raja Petra.

Peguam Simon Murali, yang mewakili Guan Eng, ketika dihubungi berkata mahkamah memerintahkan Raja Petra membayar ganti rugi am dan teruk sebanyak RM600,000, serta kos RM10,000 kepada anak guamnya.

“Mahkamah juga memerintahkan defendan (Raja Petra) membayar faedah 5% setahun daripada tarikh pemfailan writ saman pada 6 Sept 2019 hingga penyelesaian penuh kes,” kata beliau dipetik.

Raja Petra yang kini berada di luar negara didakwa memfitnah Guan Eng yang juga bekas Menteri Kewangan berhubung projek terowong bawah laut Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion.

Semasa prosiding taksiran ganti rugi pada 14 April lalu, Guan Eng, 61, dalam keterangannya menuntut ganti rugi am sebanyak RM20 juta susulan penerbitan 20 artikel dalam versi Bahasa Inggeris dan Melayu oleh portal Malaysia Today milik Raja Petra bermula Februari 2019.

Setiausaha Agung DAP itu juga menuntut ganti rugi teruk dan teladan masing-masing berjumlah RM500,000.

Pada 28 Feb tahun lalu, Setiausaha Agung DAP itu memperoleh penghakiman ingkar selepas Raja Petra tidak memasukkan kehadiran bagi menjawab saman yang dikemukakan terhadapnya termasuk gagal memberi maklum balas terhadap notis saman yang diiklankan melalui tiga akhbar pada 10 Feb 2020.

Ia berhubung fitnah 'projek terowong'
Sebelum itu, Guan Eng cuba menyerahkan writ saman dan penyataan tuntutan kepada Raja Petra melalui perkhidmatan peribadi di alamat terakhir penulis blog tersebut yang diperoleh daripada Jabatan Pendaftaran Negara dan Suruhanjaya Pilihan Raya namun gagal.

Beliau memfailkan saman fitnah berhubung penerbitan satu siri artikel “Dari Fail SPRM” dalam versi Bahasa Inggeris dan Melayu oleh Malaysia Today antara 24 Feb dan 15 Mac 2019.

Post a Comment

0 Comments