HARAPAN Johor kemuka 5 tuntutan terhadap Menteri Besar


LIMA tuntutan digariskan Pakatan Harapan (HARAPAN) negeri Johor terhadap Menteri Besar, Hasni Mohammad untuk dibawa dalam mesyuarat bersama Ahli Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dijadual berlangsung minggu depan.

Gabungan itu melalui satu kenyataan yang mengulas isu Covid-19 menegaskan bahawa pendekatan “dwi partisan” perlu dilaksana kerajaan pimpinan Hasni dalam menangani pandemik yang semakin meruncing.

Gesaan itu susulan titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar agar satu perbincangan secara pemesyuaratan diadakan dalam kalangan semua Ahli Parlimen dan ADUN di Johor dengan dipengerusikan oleh Menteri Besar diadakan.

HARAPAN Johor berkata, tuntutan pertama mereka adalah supaya ujian saringan besar-besaran secara percuma bagi mengatasi penularan wabak yang serius dalam komuniti.

"Kerajaan negeri boleh menggerakkan hospital di bawah KPJ Healthcare yang dimiliki Johor Corporation (JCorp) bagi mempergiat pemeriksaan mengesan jangkitan,” menurut kenyataan itu.

"Tuntutan kedua adalah perancangan memperluaskan kempen kesedaran vaksinisasi kepada rakyat negeri itu dan mencapai angka pendaftaran sekurang-kurangnya 70% daripada keseluruhan mereka yang layak, berbanding ketika ini hanya 43.83% daripada 2.9 juta orang yang layak menerima vaksin.

“Ketiga, pakej rangsangan ekonomi tambahan perlu dibahaskan bagi membantu mereka yang terkesan ketika perintah darurat dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, bantuan ekonomi perlu diberikan kepada golongan berpendapatan rendah, Peniaga Kecil Sederhana (PKS), anak muda dan pekerja yang amat terkesan bahkan hilang pendapatan.

Selain itu mereka turut menuntut supaya kerajaan negeri Johor dapat mendesak kerajaan Malaysia dan Singapura menyegerakan perancangan pembukaan sempadan selepas keadaan lebih stabil. Ia bagi memulihkan ekonomi negeri ini setelah kian lama terjejas.

Manakala tuntutan terakhir adalah menamatkan perintah darurat supaya institusi demokrasi negara, Parlimen dan DUN dapat bersidang semula bagi membincangkan ekonomi rakyat dan negara.

“Sehubungan itu, HARAPAN Johor memohon Menteri Besar mempertimbangkan agenda ini untuk dibahaskan dalam sebuah mesyuarat seperti yang dititahkan oleh Sultan Johor demi nyawa dan ekonomi rakyat, khasnya Bangsa Johor,” menurut kenyataan ditandatangani Pengerusi parti komponen dalam gabungan itu.


Sultan Ibrahim ketika menitahkan perbincangan dikalangan Ahli Parlimen dan ADUN diadakan mahu wakil rakyat memberikan buah fikiran serta pandangan masing-masing dalam membendung penularan wabak Covid-19 dan menyelesaikan masalah dihadapi Bangsa Johor.

Post a Comment

0 Comments