MAHKAMAH Sesyen Kuala Lumpur semalam diberitahu bahawa bekas Pengerusi bukan eksekutif Felcra Bung Moktar Radin pernah mengemukakan surat permohonan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) Berhad bagi membuat pelaburan berjumlah RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.
Bekas ketua timbalan setiausaha Perbendaharaan (Pelaburan) Kementerian Kewangan Mohmad Isa Hussain, 61, berkata tindakan itu bertentangan dengan keputusan mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah (ALP) Felcra pada 24 Nov 2014 yang turut dihadirinya, Bung Moktar dan beberapa ALP lain yang bersetuju untuk membuat pelaburan sebanyak RM50 juta dalam unit amanah itu.
Mohmad Isa berkata, beliau menerima surat permohonan pelaburan RM150 juta pada 3 Mac 2015 yang ditandatangani Bung Moktar sendiri untuk diserah kepada Menteri Kewangan II ketika itu Ahmad Husni Hanadzlah untuk kelulusan.
“Permohonan tersebut mendapat kelulusan Ahmad Husni, bermaksud pihak Felcra boleh meneruskan cadangan pelaburan unit amanah yang dimohon kerana bagi jumlah pelaburan melebihi RM30 juta, perlu merujuk kepada Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) untuk keputusan muktamad.
“Berhubung jumlah pelaburan berjumlah RM150 juta yang dinyatakan (dalam surat), saya ketika itu beranggapan jumlah tersebut sama ketika pembentangan yang dibuat semasa mesyuarat ALP pada 24 Nov 2014 dan tidak tahu sekiranya jumlah tersebut telah diubah atau tidak sama dengan jumlah yang diluluskan semasa mesyuarat ALP itu,” katanya dipetik laporan media.
Mohmad isa merupakan saksi pendakwaan ke-19 dalam kes membabitkan Ahli Parlimen Kinabatangan itu yang didakwa menerima rasuah daripada ejen pelaburan Public Mutual Madhi Abdul Hamid, 38, menerusi isterinya Zizie Ezette di Public Bank cawangan Taman Melawati antara 12.30 tengah hari dan 5 petang 12 Jun 2015.
Beliau mendedahkan tindakan Bung itu semasa membaca pernyataan saksinya ketika pemeriksaan utama oleh timbalan pendakwa raya Faridz Gohim Abdullah.
Mohmad Isa berkata, dalam pengetahuannya, jika berlaku perubahan amaun yang hendak dilaburkan dalam unit amanah di Public Mutual, perkara itu perlu dirujuk kepada mesyuarat ALP terlebih dahulu.
Bagaimanapun, semasa pemakluman laporan prestasi pelaburan unit amanah itu pada mesyuarat ALP Ogos 2015, beliau difahamkan prestasi pelaburan tersebut tidak menggalakkan dan maklumat yang diberikan adalah mencurigakan.
“Saya sebagai pengerusi Jawatankuasa Audit kemudiannya membangkitkan perkara ini (isu pelaburan RM150 juta) dalam mesyuarat Jawatankuasa Audit Felcra Berhad kali ke-54 bertarikh 15 Sept 2015 dan meminta dilaksanakan satu siasatan khas berhubung perkara ini.
“Setelah dibentangkan hasil siasatan khas berkenaan, barulah saya dapat tahu jumlah pelaburan yang dibuat tidak sama seperti keputusan asal, iaitu daripada RM50 juta kepada RM150 juta,” katanya.
![]() |
Didakwa terima rasuah hampir RM3 juta |
Zizie Ezette pula mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa sama.
0 Comments