Bawa vaksin kepada rakyat, jangan biar PPV sesak - Rafidah


BEKAS menteri persekutuan, Rafidah Aziz mengkritik cara kerajaan Perikatan Nasional menjalankan Program Imunisasi Covid-19.

Rafidah yang mengulas isu kesesakan di pusat pusat pemberian vaksin (PPV) berkata, kerajaan seharusnya membawa vaksin kepada rakyat dan bukannya menyebabkan rakyat membanjiri PPV tersebut.

Dipetik laporan FMT, Veteran politik itu juga menegaskan bahawa PPV sepatutnya “berukuran tepat” dan menggunakan dewan serbaguna di setiap daerah supaya orang ramai dapat diuruskan dengan baik sekaligus menyengelakkan kesesakan.

"PPV itu sepatutnya hanya menerima penduduk daerah sama untuk memudahkan penyimpanan rekod dan pengesanan," katanya menurut laporan itu.

Media sebelum ini melaporkan kesesakan antaranya PPV Stadium Indera Mulia di Ipoh pada 23 Mei lalu susulan tindakan ratusan individu yang cuba mendapatkan vaksinasi tanpa janji temu baharu.

Perkara sama turut dilapor berlaku di Dewan Sri Guchil, Kuala Krai di Kelantan pada 11 Mei lalu setelah pihak pengurusan PPV itu membuka slot kekosongan bagi menggantikan individu tidak hadir.

Sementara itu, Rafidah menjelaskan bahawa langkah disarankannya itu dapat mencegah kemungkinan wujud “kluster pusat vaksinasi Covid-19” yang berpunca daripada kesesakan orang ramai, dengan ramai yang beratur berjam-jam sebelum divaksin.

“Kita tidak memerlukan (pangkalan data) IT mega RM70 juta ditubuhkan bagi pendekatan akal ini disebabkan kumpulan vaksinasi ‘disasarkan’. Janji temu menjadi lebih bermakna dan rakyat tidak perlu merentas sempadan ke pusat mega.

“Data yang dikumpul di pusat daerah ini boleh dikumpul semak Pejabat Kesihatan Daerah, kemudian ke Pejabat Kesihatan Negeri untuk dianalisis dan dihantar ke Kementerian Kesihatan,” katanya dipetik portal itu.

Beliau turut mempersoalkan kenapa Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah tidak menganggotai Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF), ketika infrastruktur penjagaan kesihatan awam diperlukan untuk pelancaran Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Rafidah bimbang muncul kluster pusat vaksin


Katanya, Malaysia tidak boleh membuang masa atau wang lagi dengan melakukan perkara dalam “skala mega” dan beliau menggesa kerajaan bersikap realistik serta cekap kerana setiap saat itu penting.


“Tiada masa untuk berpolitik dan pendekatan mega. Vaksin perlu sampai kepada rakyat, bukan sebaliknya. Kita memerlukan pelancaran sesuai di peringkat akar umbi.” tegasnya lagi.


Post a Comment

0 Comments