Bagaimana nak laksana PdPR jika luar bandar ada masalah internet?


SEORANG pakar pendidikan mencadangkan Kementerian Pendidikan (KPM) tidak bercakap mengenai sistem pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) sekiranya sekolah luar bandar masih berdepan masalah capaian internet.

Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan & Kesejahteraan Komuniti, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Anuar Ahmad dipetik laporan media berkata, bagi mengatasi isu capaian internet sekolah luar bandar sudah tiba masanya unit khas sekolah desa ditubuhkan bagi memastikan pelajar di kawasan itu tidak ketinggalan mengikuti pembelajaran ketika negara berdepan pendemik Covid-19.

“Keadaan sekolah luar bandar dan pedalaman khususnya sekolah daif ini sangat membimbangkan. Prasarana asas di kebanyakan sekolah masih ketinggalan jauh ke belakang malah ada yang masih tiada kemudahan elektrik dan air bersih.

“Bagaimana kita mahu bercakap mengenai pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) sekiranya sekolah luar bandar masih mengemis untuk mendapatkan akses internet dan kemudahan peranti pembelajaran?

“Suasana bilik darjah yang usang dengan bumbung bilik darjah bocor, meja kerusi rosak dan papan hitam berlubang juga adalah realiti dihadapi murid dan guru di luar bandar sejak sekian lama,” katanya.

Anuar turut menegaskan bahawa usaha memperkasakan sekolah luar bandar juga semakin penting berikutan pelaksanaan pembelajaran dalam talian susulan penularan pandemik Covid-19 pada masa kini dengan kebanyakan sekolah di kawasan itu masih kekurangan dari segi kemudahan seperti internet.

Menurutnya lagi daripada 10,220 sekolah, hampir 7,000 sekolah rendah dan menengah kerajaan terletak di luar bandar.

Anuar berkata, kedaifan sekolah luar bandar menggalakkan lagi jurang pencapaian pendidikan antara bandar dan luar bandar sekaligus meningkatkan kadar keciciran pendidikan.

“Apabila sekolah tidak mempunyai prasarana yang baik, ini tidak menggalakkan motivasi pembelajaran dan anak-anak akan mula hilang tumpuan untuk belajar.

“Jangan berani kata kepada mereka ‘cikgu buat sahaja apa yang boleh’ atau ‘guna saja kreativiti cikgu’. Jangan. Ini bagai sindiran tajam yang menikam buat guru-guru di pedalaman,” tegasnya.
 
Sementara itu Anuar menjelaskan bahawa kewujudan unit khas itu perlu ditumpukan kepada pembangunan semula infra pembelajaran di semua sekolah luar bandar dan pedalaman khususnya sekolah daif.


Kementerian digesa tubuh unit khas


Beliau turut menggesa kerajaan menyegerakan program transformasi sekolah luar bandar selain mewujudkan program guru besar dan guru cemerlang mata pelajaran untuk ditempatkan di sekolah luar bandar bagi meningkatkan prestasi sekolah.

“Setelah 63 tahun kita merdeka, isu sekolah daif ini masih berlanjutan tanpa tindakan yang sistematik dan berkesan.
"
“Sistem pendidikan kita tidak akan maju dan berjaya jika isu kualiti sekolah luar bandar khususnya sekolah daif tidak diselesaikan," tegasnya lagi.

Post a Comment

0 Comments