Ahli Parlimen HARAPAN serah memorandum kecam Israel

AHLI PARLIMEN Pakatan Harapan (HARAPAN) dilapor telah menandatangani satu memorandum bagi mendesak supaya ketegangan konflik Israel-Palestin dapat diredakan

Jurucakap mewakili mereka, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, pembangkang merancang untuk menyerahkan memorandum yang ditandatangai Ahli Parlimen pembangkang itu kepada Kedutaan Amerika Syarikat (AS) pada Selasa melalui platform maya tetapi ia ditolak oleh pejabat kedutaan

Pejabat kedutaan bagaimanapun jelasnya lebih suka jika memorandum itu dapat diserahkan secara fizikal terus ke pejabat mereka.

“Bagaimanapun, kami tidak dapat melakukannya kerana perintah kawalan pergerakan. Oleh itu, persidangan dalam talian ini merupakan simbolik penyerahan memorandum kepada mereka,” kata Syed Ibrahim seperti dilapor media.


Selain Syed Ibrahim, persidangan maya itu turut dihadiri Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching, Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah, Ahli Parlimen Pulai, Salahuddin Ayub dan Ahli Parlimen Simpang Renggam, Maszlee Malik.

Memorandum oleh Ahli Parlimen pembangkang itu antara lain menuntut supaya kedutaan mengutuk dan meminta Israel menghentikan pencerobohan dan serangan yang tidak diprovokasi terhadap penduduk Palestin di Jerusalem, Gaza, Tebing Barat dan wilayah lain kerana melanggar hak asasimanusia dan resolusi antarabangsa, khususnya, Resolusi Majlis Keselamatan PBB 476 ,478 dan 2334.

Mmorandum itu turut mendesak masyarakat antarabangsa, terutama PBB dan agensinya, bertindak dalam batas kemampuan mereka untuk mencegah dan menghukum “apartheid Israel”.

“Tindakan Amerika Syarikat dan restu Washington atas jenayah dilakukan Israel terhadap hak sah rakyat Palestin mesti dikutuk dan dinilai semula sejajar dengan undang-undang di Kongres AS yang bertujuan untuk mengakhiri pembabitan AS atas pencabulan hak asasi manusia Israel.

“Tidak dapat dinafikan lagi bahawa bantuan AS telah lama digunakan oleh pasukan keselamatan Israel untuk melanggar hak asasi anak-anak Palestin, merobohkan rumah keluarga Palestin, atau untuk merampas tanah Palestin secara kekal,” katanya lagi.

Melalui memorandum sama, mereka turut mendesak kerajaan Malaysia dibawah pentadbiran Muhyiddin Yassin melaksanakan langkah tegas bagi mengatasi isu berkenaan.

Dunia digesa halang “apartheid Israel”
Antaranya, kerajaan harus mengutuk keras pelanggaran Israel dan penindasan hak Palestin untuk menentukan nasib mereka sendiri dengan mendesak organisasi seperti Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Liga Arab dan PBB mengambil tindakan lebih bermakna bagi melindungi rakyat Palestin.

Memorandum itu juga mendesak Muhyiddin sebagai Perdana Menteri untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil sesi Parlimen Khas Darurat bagi membincangkan perkara itu.

Post a Comment

0 Comments