Najib mungkin hilang status Ahli Parlimen?


BEKAS  perdana menteri, Najib Abdul Razak dilapor menerima notis kebankrapan daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) semalam.

Notis kebankrapan itu dikeluarkan setelah Ahli Parlimen Pekan itu  gagal membayar tunggakan cukai tambahan sebanyak RM1.69 bilion bagi tempoh 2011 hingga 2017.

Melalui notis yang difailkan pada 4 Feb, Najib dikehendaki membayar RM45 juta sebagai faedah pada kadar 5% setahun, atas amaun yang tidak dibayar itu. Jumlah keseluruhan yang perlu bayar termasuk kos mahkamah RM15,000 adalah RM1.73 bilion.

Difahamkan pegawai LHDN datang ke kediaman Najib semalam dan menyampaikan notis itu kepadanya secara peribadi.

Najib yang kini sedang dalam proses rayuan berhubung sabitan 7 kesalahan dalam kes membabitkan dana SCR International melalui satu tulisan di sebuah portal menyifatkan penyerahan notis itu sebagai 'menampal garam di luka'.

Dakwa bekas Presiden Umno itu, penyerahan notis kebankrapan itu ada hubung kait dengan beberapa isu termasuk keputusan parti pada Perhimpunan Agung Umno lalu untuk memutuskan kerjasama dengan Bersatu/ Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

"Apakah kesan akibat dari notis bankrap ini? Saya akan kehilangan status Ahli Parlimen Pekan dan pilihan raya kecil akan diadakan.

"Saya tidak lagi layak untuk bertanding dalam pemilihan parti dan pilihan raya," kata Najib dipetik.

 Najib diserahkan notis bankrap oleh LHDN
Pada 22 Julai tahun lepas, Mahkamah Tinggi membenarkan kerajaan memperolehi penghakiman terus untuk memungut tunggakan cukai tambahan sebanyak RM1.69 bilion daripada Najib.

LHDN berkata penghakiman terus itu tidak ditangguhkan sejak mahkamah memutuskan kes berkenaan, justeru notis kebangkrapan difailkan terhadap Najib.

Post a Comment

0 Comments