PN tak proaktif kembalikan keyakinan sistem kewangan - Anwar


KERAJAAN dikepalai Muhyiddin Yassin dilihat tidak mengambil langkah mencukupi bagi meningkatkan keyakinan rakyat terhadap institusi kewangan negara.

Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau kini bimbang kelemahan itu akan memberi dampak buruk kepada ekonomi negara yang telah sedia berada dalam keadaan lemah.

Kebimbangan itu susulan beberapa laporan yang mengaitkan penglibatan beberapa pegawai bank berpangkat tinggi dalam siasatan skandal 1MDB yang masih belum ditangani yang menurutnya akan membuatkan pelabur dan institusi perbankan domestik serta antarabangsa akan meragui reputasi dan kemampuan Malaysia

"Sehingga sekarang, Bank Negara Malaysia (BNM) belum memberi sebarang penjelasan terkait isu bayaran yang dibuat Jho Low kepada ahli keluarga mantan Gabenor Bank Negara," katanya melalui kenyataan.

Anwar merujuk laporan baru-baru ini yang mengaitkan Tawfiq Ayman - Suami kepada Zeti Akhtar Aziz yang disiasat berhubung pengubahan wang haram kerana didakwa memindahkan dana daripada akaun yang dikaitkan dengan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho, ke sebuah akaun bank di Singapura.

Anwar juga merujuk laporan terbaru mengenai penyelesaian global melibatkan AMMB Holdings Bhd, yang bersetuju membayar RM2.83 bilion bagi semua tindakan dan tuntutan tertunggak berhubung penglibatan Kumpulan AmBank dalam 1MDB.

“Sehingga hari ini, rakyat masih belum tahu tentang salah laku AmBank dalam kes 1MDB

"Masyarakat umum ingin tahu sama ada BNM sudah melakukan penelitian munasabah bagi memastikan transaksi itu mengikut piawaian ketat dan beretika..” katanya.

Anwar berkata, pegawai bank berpangkat tinggi yang terlibat dengan skandal 1MDB, Nazir Razak turut dilantik sebagai pengerusi Bank Pembangunan, yang terletak di bawah Kementerian Kewangan.

BACA:
Reputasi Malaysia terus diragui pelabur dan institusi kewangan

Nazir, adik bekas perdana menteri Najib Razak yang juga bekas pengerusi CIMB, antara 80 individu dan entiti yang diberi notis kompaun oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada tahun lalu bagi mendapatkan semula dana 1MDB berjumlah RM420 juta.

 Banyak isu berkait 1MDB belum dijawab
"Para pemerhati akan membayangkan apakah Malaysia akan sekali lagi melahirkan skandal kewangan terbesar berdasarkan fakta-fakta serta sikap Kementerian Kewangan dan BNM.

"Tanpa fungsi dan peranan parlimen, amat sukar untuk kita mewujudkan imbangan serta penelitian yang berkesan terkait hal ini," kata Anwar dalam satu kenyataan tanpa menyebut nama Nazir.

Post a Comment

0 Comments