Jawapan PR1MA bangkitkan lebih banyak soalan - Akmal Nasir



AHLI PARLIEN
Johor Bahru Akmal Nasrullah Mohd Nasir menegaskan bahawa Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) gagal menjawab soalannya berkenaan kos penganjuran Majlis Berbuka Puasa oleh perbadanan itu.


Melalui satu kenyataan, Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) itu berkata, kegagalan PR1MA menjawab persoalan dibangkitkannya hanya membangkitkan lebih banyak persoalan bagaimana perbelanjaan agensi itu diuruskan.

“Majlis yang diadakan secara besar-besaran itu dikatakan turut melibatkan jemputan orang-orang politik termasuk Ketua Dewan Ulama PAS dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno.

“Keengganan menjawab hanya menimbulkan lebih banyak persoalan mengenai akauntabiliti dan ketelusan perbelanjaan PR1MA dalam keadaan pampasan ganti rugi kepada pembeli (LAD) tidak mahu dibayar serta masih terdapat beribu-ribu unit rumah yang terbengkalai atau lewat,” katanya.

Difahamkan majlis berbuka puasa itu dirasmikan pengerusinya, Shahidan Kassim.

PR1MA dilancarkan pada tahun 2011, dengan sasaran membina 500,000 unit rumah menjelang pada tahun 2020 untuk golongan berpendapatan sederhana.

Namun, banyak projek PR1MA dibelenggu oleh kelewatan dan pembatalan. Dewan Rakyat pada Disember lalu dimaklumkan bahawa kerajaan telah membayar pampasan sebanyak RM172 juta untuk projek PR1MA yang dibatalkan.

Akmal sebelum ini mengingatkan bahawa walaupun ibadah berbuka puasa digalakkan pada bulan Ramadan, namun dana awam tidak boleh dilibatkan.

“Janganlah sampai pembeli-pembeli (PR1MA) yang teraniaya terasa diabaikan.

“Mereka ikat perut bayar bulan-bulan kepada bank dalam keadaan rumah belum siap, tapi kamu boleh anjurkan pula majlis besar-besaran sebegini,” kata Akmal.

PR1MA kemudian mengeluarkan kenyataan maklum balas terhadap persoalan dibangkitkan Akmal dan sekadar menegaskan ia komited untuk menyiapkan projek pembangunan kediaman di bawah seliaannya dalam tempoh masa yang dijadualkan.

Akmal juga menyoal PR1MA tentang satu lagi majlis berbuka puasa berbentuk jamuan dan sumbangan pada 17 April, yang dakwanya, turut melibatkan kepemimpinan Umno Selangor termasuk ketua bahagian, ketua wanita, ketua pemuda serta ketua puteri seluruh negeri Selangor.

“Persoalannya, berapakah kos penganjuran majlis keraian bersama Umno Selangor termasuk belanja jamuan dan sumbangan?

 Jangan sampai pembeli rasa teraniaya
“Benarkah pegawai kanan PR1MA turut serta dalam program tersebut dengan makan di meja utama serta dilihat berada di pentas ketika penyerahan sumbangan?

“Sekiranya benar, mengapakah pegawai kanan PR1MA hadir untuk program Umno dan adakah terdapat sumbangan atau tajaan yang disalurkan?” soalnya lagi.

Post a Comment

0 Comments