PN dalam keadaan lemah akibat khianat mandat rakyat

 


KERAJAAN Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin Muhyiddin Yassin ketika ini disifatkan sedang berada dalam keadaan sangat lemah akibat perbuatannya yang mengkhianat mandat rakyat.

Pandangan itu dinyatakan Naib Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa sambil menegaskan bahawa kerajaan tidak lagi dapat melepaskan diri dari dilabel ‘pengkhianat’ atas tindakan membelot mandat dan hasrat rakyat yang telah bersusah payah menjatuhkan kleptokrat Barisan Nasional (BN) semasa pilihanraya umum yang lalu.

Beliau juga menganggap kerajaan PN kini sebagai kerajaan yang ‘tempang dan cacat’.

“Kemunculan kerajaan Perikatan Nasional itu adalah satu kemunculan yang tempang, cacat. Lalu segala tindakan yang dilakukan mereka tidak mendapat kepercayaan daripada rakyat.

“Sehingga saat ini mereka tak pernah buktikan kerajaan PN ada majoriti selesa yang dengan itu mereka boleh dikira mendapat mandat. Tidak ada.

“Bila tidak ada, sudah tentu keadaannya rapuh. Kita lihat bagaimana sikap pengkhianatan dan pembelotan ini menjadikan kerajaan PN di bawah pimpinan Muhyiddin sekarang berada dalam keadaan cukup lemah,” katanya dalam siaran langsung di Facebook The Perspektif seperti dilapor Malaysiadateline.

Tambah Ahli Parlimen Partit Buntar itu lagi, gelombang kerajaan gagal yang digerakkan pengguna media sosial baru-baru ini menunjukkan PN sedang mengalami kemerosotan kepercayaan dari rakyat.

PN sudah hilang fokus dari tumpuan menangani wabak Covid-19, selain hanya memikirkan bagaimana untuk terus berkuasa.

Tambahnya, Kabinet XXL dimiliki Muhyiddin Yassin menunjukkan bahawa kerajaan pimpinannya itu sama sekali tidak membantu memberi kesan baik kepada keadaan kritikal yang dihadapi negara.

Malah memberi isyarat seolah-olah mengamalkan satu budaya yang hanya mahu mengekalkan sokongan dengan memberi habuan jawatan dan kedudukan.

Rakyat dah sedar kelemahan kerajaan Muhyiddin
“Kita dapat membuat rumusan bahawa rakyat dah mula sedar akan kelemahan kerajaan untuk melaksanakan dasar-dasar penguatkuasaan Covid-19 ini sehingga adanya isu dua darjat dan isu kluster kayangan.

“Saya khuatir ini akan mewujudkan persepsi yang cukup negatif terhadap kerajaan yang sedang mengalami kemerosotan kepercayaan,” katanya dipetik laporan itu.



Post a Comment

0 Comments