KEMENTERIAN Pendidikan diingatkan agar tidak terus membisu ketika banyak pihak kini menyatakan kebimbangan kes Covid-19 di sekolah bakal meningkat.
Melalui satu kenyataan, Pakatan Harapan (HARAPAN) Johor mehu kementerian dikepalai Mohd Radzi Jidin itu segera mengambil langkah proaktif bagi membendung penularan wabak itu dikalangan guru dan murid sekolah.
Menurut mereka, sehingga Khamis sebanyak 27 buah sekolah dan sekolah agama di Johor ditutup ekoran penularan Covid-19 dalam kalangan guru dan pelajar.
Justeru tindakan segera perlu diambil untuk melegakan keresahan ibu bapa dan warga pendidikan.
"Rentetan daripada situasi ini, ibu bapa telah melahirkan kerisauan mereka untuk menghantar anak-anak ke sekolah," kata kenyataan tersebut.
Kenyataan itu ditandatangani Pengerusi HARAPAN Johor, Aminolhuda Hassan dan Pengerusi KEADILAN Johor, Syed Ibrahim Syed Noh serta Pengerusi DAP Johor, Senator Liew Chin Tong.
Media dalam laporannya pada Rabu menyatakan bilangan sekolah yang terpaksa ditutup di Johor meningkat sebanyak 27 sekolah.
Ia setelah setelah merekodkan kes positif Covid-19 dalam kalangan petugas, murid serta pelajarnya membabitkan 10 sekolah agama dan 17 lagi adalah sekolah kebangsaan, sekolah menengah dan sekolah jenis kebangsaan.
Manakala Bernama dalam laporannya hari ini memberitahu sebanyak 39 kluster dengan 1,420 kes melibatkan sub kategori sekolah atau institusi Kementerian Pendidikan (KPM) telah dikesan dari 1 Jan hingga 20 April lepas.
Kluster melibatkan institusi pendidikan merekodkan peningkatan sekali ganda daripada enam kepada 12 kluster dalam tempoh tujuh hari pada minggu lepas.
Beberapa kesatuan termasuk berkaitan perguruan baru-baru ini mendesak supaya kementerian pendidikan mengumumkan penutupan sementara sekolah bagi mengekang penularan wabak itu.
![]() |
HARAPAN Johor gesa tindakan proaktif |
"Pada masa sama, HARAPAN Johor menyeru agar seluruh rakyat khususnya ibu bapa untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam menjaga keselamatan dan kesihatan anak-anak mereka," kata kenyataan tersebut.
0 Comments