KETUA PEMBANGKANG di Parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa agar kerajaan segera menghentikan penggunaan “akta lapuk” untuk menekan suara kritikan dan pendapat berbeza.
Gesaan itu dibuat susulan tindakan pihak berkuasa menahan beberapa aktivis seperti Fahmi Reza dan Mukmin Nantang minggu lalu.
Melalui satu kenyataan, Anwar menyifatkan penahanan aktivis hanya kerana menyatakan pandangan mereka sebagai menekan kebebasan bersuara dan bereskpresi.
“Memetik filasuf dan pemikir Renaisans Voltaire: “saya mungkin menentang dan tidak bersetuju dengan idea anda yang berbeza dengan saya, tetapi saya bersedia untuk mempertahankan hak anda untuk meluahkannya”.
“Dengar luahan rakyat dan bekerja untuk mereka, bukan untuk diri kalian semata,” tegas Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) itu.
Sementara itu tambahnya, tindakan kerajaan mengenakan tindakan terhadap kedua-dua aktivis tersebut dilihat sebagai langkah terdesak dalam menghalang kebebasan bersuara untuk kekal berkuasa.
“Sikap dan perilaku pemerintah dalam menginjak kebebasan yang dijamin Perlembagaan adalah cubaan yang jelas terdesak untuk membungkam kritikan dan terus berpaut pada kuasa.
“Malaysia sudahpun menyaksikan rekod hak asasi manusia dan tingkat kebebasan medianya merudum parah di bawah kerajaan hari ini yang terus menyalahgunakan kuasa,” katanya lagi.
Sebagai rekod, Fahmi Reza yang juga seorang artis grafik ditahan polis di rumahnya.
Penahanan itu dipercayai berhubung catatan beliau di media sosial yang didakwa menghasut. Walau bagaimanapun Fahmi tetapi dibebaskan sehari kemudian.
Sementara Mukmin Nantang pula ditahan kerana didakwa ingkar prosedur operasi standard (SOP) PKP dengan mengadakan perhimpunan membantah keputusan kerajaan Perikatan Nasional melanjutkan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di Kampung Muhibbah Raya di Tawau, Sabah selama 14 hari lagi, iaitu dari 25 April hingga 8 Mei.Anwar gesa menteri dengar keluhan rakyat
Keputusan kerajaan pimpinan Muhyiddin itu tegasnya akan membebankan dan menambah sukar penduduk kampung berkenaan.
0 Comments