BEKAS Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong mendakwa Dr Mahathir menyatakan Malaysia akan meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd) ketika di Perhimpunan Agung PBB berdasarkan syor yang dibuat menteri luar ketika itu, Saifuddin Abdullah.
Perkara itu dinyatakan dalam buku terbarunya, Lim Kit Siang: Patriot. Leader. Fighter.
Dakwaan Chin Tong itu dilihat bertentangan dengan pendirian Saifuddin bahawa dia tidak bertanggungjawab terhadap usaha ratifikasi Icerd yang akhirnya menjadi isu melibatkan kaum dan menjejaskan pentadbiran Pakatan Harapan (HARAPAN).
Dipetik buku itu beliau berkata, susulan pengumuman Mahathir, pemimpin Umno seperti Khairy Jamaluddin - yang dilihat sebagai seorang yang progresif - melihatnya dari sudut kaum.
"Berdasarkan syor oleh menteri luar Saifuddin, perdana menteri mengumumkan dalam perhimpunan agung PBB pada 28 September yang Malaysia akan menjadi penandatangan Icerd.
"Dalam reaksi segera, pemimpin Umno yang dikatakan progresif, Khairy menjadi orang pertama yang membayangkan konvensyen PBB itu mengancam orang Melayu," katanya dipetik laporan sebuah portal.
Saifuddin yang kini Menteri Komunikasi dan Multimedia sebelum ini mendakwa usaha ratifikasi Icerd - yang dikendalikan kementeriannya pada era pemerintahan HARAPAN- terkandung dalam manifesto dan ucapan Dr Mahathir ketika Perhimpunan Agung PBB pada 2018.
Pada 14 April lalu, Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil menyatakan Icerd tidak disebut dalam manifesto HARAPANH, tetapi hanya menyatakan akan meratifikasi perjanjian antarabangsa yang dilihat “sesuai”.
![]() |
Dakwaan itu dibuat Chin Tong dalam bukunya |
Segelintir pihak bimbang Icerd akan membuatkan Malaysia perlu mematuhi kesamarataan yang akhirnya menjejaskan hak istimewa orang Melayu. Pembangkang ketika itu menggunakan isu tersebut untuk meraih sokongan dan dilihat sebagai permulaan kemerosotan sokongan orang Melayu terhadap HARAPAN.