Tabung Amanah Negara: Ahli Parlimen soal niat K'jaan PN


KERAJAAN Perikatan Nasional (PN) ditanya mengapa mereka menggunakan kuasa darurat untuk memanfaatkan Tabung Amanah Nasional.

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago membangkitkan persoalaan itu kerana jelasnya kerajaan sebelum ini telah memperuntukkan kira-kira RM3 bilion untuk pemerolehan vaksin Covid-19 di bawah Belanjawan 2021.

Justeru beliau bertanyakan apakah penggunaan dana dari Tabung Amanah itu merupakan satu bentuk suntikan dana tambahan untuk digunakan pentadbiran Muhyiddin.

"Perdana Menteri Muhyiddin Yassin harus bersikap terbuka, bertanggung jawab dan telus dalam cara kerajaan membelanjakan dana tersebut untuk kepentingan umum.

"Biar rakyat melihat butiran perbelanjaan itu," katanya.

Semalam media melaporkan kerajaan Muhyiddin telah mewartakan Ordinan Darurat (Kumpulan Wang Amanah Negara) Pindaan 2021 (KWAN) bagi membenarkan penggunaan dana dari Tabung Amanah itu untuk perolehan vaksin.

Dana Amanah Negara dikumpulkan selama beberapa dekad lalu, dengan sebahagian besarnya adalah sumbangan syarikat minyak nasional Petronas.

Laporan Tabung Amanah Nasional 2018, yang dibentangkan di Parlimen pada tahun 2020 menyatakan dana ini mempunyai jumlah keseluruhan kira-kira RM17.4 bilion.

Secara konvensyen, kelulusan Dewan Rakyat diperlukan  bagai membenarkan dana tersebut digunakan oleh kerajaan.

Tetapi pentadbiran Muhyiddin menggantung sidang Dewan Rakyat  dan Putrajaya mempunyai kuasa membuat sebarang keputusan.

"Dana ini adalah khusus dikhaskan untuk masa depan, mengapa harus gunakannya sekarang.

"Apakah kerajaan menghadapi kekurangan dana sehingga harus menggunakan dana yang dikhaskan untuk masa depan?" soal Charles sambil mempersoalkan sejauh mana Putrajaya berhasrat menggunakan kuasa daruratnya untuk membelanjakan wang tersebut.

Tabung Amanah adalah dana khas masa depan
Bulan lalu, Putrajaya juga melaksanakan kuasa darurat untuk mendapatkan dana tambahan dan memanfaatkan dana yang disatukan tanpa persetujuan Parlimen.

"Kerajaan seharusnya mengadakan sidang Parlimen dan memohon bekalan atau wang tambahan," tegasnya.

Post a Comment

0 Comments