Pengeluaran dana KWAN perlu kelulusan Parlimen- Dr Nungsari


SEORANG pakar ekonomi, Dr Nungsari Ahmad Radhi mempersoal keputusan kerajaan meluluskan pindaan ke atas Akta Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) 1988 (Akta 339), yang membolehkan dana daripada kumpulan itu diguna bagi tujuan pemerolehan vaksin dan apa-apa perbelanjaan berhubung vaksin.

Dipetik laporan Malaysiadateline, Nungsari berpendapat dana KWAN adalah untuk generasi masa depan dan pengeluarannya memerlukan kelulusan Parlimen.
 
“Kerajaan menggunakan darurat untuk keluarkan dana tanpa kelulusan Parlimen. Peruntukan pembelian vaksin sudah diluluskan oleh Parlimen dalam Belanjawan 2021.

“Kalau tak cukup, kemukakan bajet tambahan kepada Parlimen. Tetapi sekarang baru satu juta lebih sikit vaksin yang diberi,” katanya di Twitter seperti dilapor portal itu.

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dikepalai Muhyiddin Yassin pada Rabu mengumumkan pindaan terhadap Akta 339 melalui Ordinan Darurat (Kumpulan Wang Amanah Negara) (Pindaan) 2021.

Ordinan itu, yang dipinda dengan memasukkan subseksyen baharu ke dalam Seksyen 6, telah dimasyhurkan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 14 April lalu menurut Fasal (2B) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

Subseksyen baharu ini menyatakan “pemerolehan vaksin dan apa-apa perbelanjaan yang dilakukan berhubung dengan vaksin bagi suatu wabak apa-apa penyakit berjangkit sebagaimana yang dinyatakan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342)”.

Mengulas lanjut, Dr Nungsari berkata, semenjak KWAN ditubuhkan oleh Akta Parlimen pada tahun 1988, pernah digunakan sekali seperti dinyatakan dalam Laporan Tahunan 2016.

Peruntukan vaksin telah diluluskan
“Sekali sejumlah RM42 juta untuk projek Malaysia Wetlands Sanctuary, tanpa diberitahu bila.

“Petronas penyumbang tunggal, menyumbang RM9.1 bilion sejak 1988. Dana diurus oleh Bank Negara. Setakat 2016, dana berjumlah RM16.4 bilion,” kata bekas Pengerusi Institut Penyelidikan Khazanah  itu dipetik laporan tersebut.

Post a Comment

0 Comments