Darurat tak wajar ketepi akauntabiliti kerajaan - Mat Hasan


TIMBALAN Presiden Umno, Mohamad Hasan membidas pindaan ordinan darurat yang membolehkan kerajaan menambah perbelanjaan tanpa melalui Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri semasa darurat.

Menurutnya, pindaan terbaru itu membimbangkan dan darurat tidak sepatutnya mengetepikan akauntabiliti dan ketelusan dalam apa juga keadaan.

Kerajaan tegasnya masih kerajaan awam dan bukannya junta tentera dan seharusnya mematuhi tatakelola yang sesuai dengan sifat sebuah kerajaan awam

“Kerajaan kita masih lagi adalah kerajaan awam dan bukannya junta tentera.

“Keabsahan tindakan pindaan ordinan tersebut tidak semestinya memberikan ia legitimasi moral,” katanya dalam kenyataan.

Satu ordinan darurat telah diwartakan pada 31 Mac yang menyatakan, apa-apa perbelanjaan atau pengeluaran daripada Kumpulan Wang Disatukan Persekutuan atau bagi sesuatu negeri boleh dibuat dengan kelulusan Perbendaharaan atau menteri besar atau ketua menteri, tanpa kelulusan dewan perundangan.

Kebiasaannya, penggunaan Kumpulan Wang Disatukan perlu melepasi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri.

Isu berkaitan pindaan ordinan itu dikritik banyak pihak. Peguam Rafique Rashid Ali bimbang ia akan akan memberikan kerajaan kuasa mutlak ke atas dana itu dan mewujudkan “pemerintahan diktator atau dikuasai seorang individu atau sebuah parti politik”.

“Mereka mempunyai akses ke atas dana awam. Ia memberi kesan menakutkan kerana mereka mempunyai kuasa untuk memperluaskan dana tanpa semak dan imbang yang dibawakan Parlimen,” katanya dipetik satu laporan media.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim antara pemimpin paling keras mengkritik pindaan itu.

Ahli Parlimen Port Dickson itu menegaskan bahawa alasan untuk peraturan darurat baru yang membolehkan kerajaan persekutuan dan negeri meluluskan perbelanjaan tambahan tanpa pemeriksaan parlimen.

BACA:
Anwar kritik pindaan benarkan guna dana tanpa kelulusan legislatif

BACA:: Peguam bimbang dana persekutuan digunakan sesuka hati

"Saya merasakan ia cukup tidak beretika dan tidak bertanggungjawab. Reputasi negara sangat memprihatinkan saat ini, dan ia pasti akan terus menghakis keyakinan pada ekonomi kita.

"Saya sekali lagi menggesa agar parlimen mesti dibuka dan ahli-ahli parlimen wajar dibenarkan menjalankan tanggungjawab mereka bagi mengelak demokrasi negara ini terus diinjak," katanya.

 Perbelanjaan mesti lalui penelitian ketat
Sementara itu tambah Muhamad Hasan,  dalam hal membelanjakan wang rakyat dan hasil negara, tiada keadaan walau serumit atau sesukar mana sekalipun wajar melepaskan kerajaan dari proses penelitian yang ketat.

Malah, kerajaan tegasnya mesti lebih berhati-hati dan bertanggungjawab membelanjakan hasil negara kerana kelumpuhan mekanisme semak dan imbang terutama ketika dibawah perintah darurat.

“Malaysia dan rakyatnya wajar mendapat kewibawaan yang lebih baik dari pemerintah.” tambahnya lagi.

 

Post a Comment

0 Comments