Anwar kritik pindaan benarkan guna dana tanpa kelulusan legislatif


TIDAK
ada alasan untuk peraturan darurat baru yang membolehkan kerajaan persekutuan dan negeri meluluskan perbelanjaan tambahan tanpa pemeriksaan parlimen, tegas Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bekas timbalan perdana menteri dan Menteri Kewangan pada akhir era 90-an itu berkata, Belanjawan 2021 yang diluluskan empat bulan lalu telah memperuntukkan dana yang mencukupi untuk menangani Covid-19.

"Tidak ada sebarang sebab untuk pemerintah ini bertindak sebegini. Belanjawan 2021 telah diluluskan kurang dari empat bulan dulu yang telah memperuntukkan dana yang cukup bagi menghadapi Covid-19.

"Sebarang dana tambahan akan diluluskan oleh parlimen dengan majoriti yang jelas, dan berkemungkinan akan mendapat dukungan kedua-dua belah pihak sekiranya ia munasabah," tegas Anwar.
 
Media sebelum ini melaporkan satu pindaan Ordinan Darurat diluluskan bagi memberikan kuasa kepada perdana menteri, ketua menteri atau menteri besar meluluskan perbelanjaan tambahan atau menggunakan Kumpulan Wang Disatukan tanpa melalui legislatif sepanjang penguatkuasaan darurat, telah diluluskan.

Ini bermakna, Perbendaharaan Malaysia, menteri besar atau ketua menteri boleh menambah perbelanjaan atau menggunakan Kumpulan Wang Disatukan masing-masing tanpa kelulusan wakil rakyat.

Sementara itu, Anwar menegaskan bahawa beliau menentang peraturan baru dalam ordinan yang dikeluarkan hari ini, dengan dua seksyen baru, iaitu Seksyen 10a dan 10b dalam Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021.

BACA: Peguam bimbang dana persekutuan digunakan sesuka hati


"Saya merasakan ia cukup tidak beretika dan tidak bertanggungjawab. Reputasi negara sangat memprihatinkan saat ini, dan ia pasti akan terus menghakis keyakinan pada ekonomi kita.

Anwar sekali lagi gesa Parlimen bersidang
"Saya sekali lagi menggesa agar parlimen mesti dibuka dan ahli-ahli parlimen wajar dibenarkan menjalankan tanggungjawab mereka bagi mengelak demokrasi negara ini terus diinjak," katanya lagi.

Parlimen dan semua sidang DUN telah digantung sejak 11 Januari lalu menerusi proklamasi darurat. Sepanjang tempoh itu, cabang eksekutif boleh meluluskan undang-undang baru dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong tanpa melalui legislatif.

Post a Comment

0 Comments