Peguam bimbang dana persekutuan digunakan sesuka hati


BEBERAPA
pengamal undang-undang melahirkan rasa bimbang pewartaan Ordinan Darurat yang membenarkan kerajaan bebas menggunakan Kumpulan Wang Disatukan ketika darurat disalahgunakan.

Rafique Rashid Ali dipetik laporan FMT berkata, peraturan baru itu akan memberikan kerajaan kuasa mutlak ke atas dana itu dan mewujudkan “pemerintahan diktator atau dikuasai seorang individu atau sebuah parti politik”.

Menurut Rafique, proses semak dan imbang perlu dijalankan bagi mengelak sebarang salahguna berlaku

“Mereka mempunyai akses ke atas dana awam. Ia memberi kesan menakutkan kerana mereka mempunyai kuasa untuk memperluaskan dana tanpa semak dan imbang yang dibawakan Parlimen,” katanya dipetik laporan itu.

Semalam, media melaporkan bahawa satu Ordinan Darurat telah diwartakan yang membolehkan perdana menteri atau menteri besar atau ketua menteri meluluskan belanjawan tambahan dan menggunakan Kumpulan Wang Disatukan tanpa perlu melepasi dewan perundangan semasa tempoh darurat.

Sebelum ini mereka patut mendapatkan kelulusan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri sebelum menyentuh wang itu.

Tambah Rafique lagi, dengan ordinan baru itu, kerajaan kini mempunyai terlalu banyak kuasa dan kuasa ini digunakan tanpa sebarang perbahasan serta menurut kehendak dan sesuka hati kerajaan semasa.

Peguam  Fahri Azzat yang dipetik laporan sama berkata, Malaysia tidak patut berubah menjadi “negara penyangak” dengan dana boleh digunakan tanpa dipersoalkan.

“Ia seperti kita di bawah pemerintahan totalitarianisme.

“Kita di tahap rakyat merasakan terdapat banyak konspirasi. Rakyat mungkin merasakan (kerajaan) terlalu bebas. Semak dan imbang diperlukan.”

Ordinan baru itu turut mendapat perhatian peguam terkenal, Haniff Khatri Abdulla. Tanpa pemantauan tegasnya, peruntukan tambahan itu akan memberi kesan kepada rakyat.

“Jika tiada pemantauan, adakah kita mempunyai kepercayaan untuk dana itu tidak disalahgunakan?” soalnya.

Justeru tegasnya, kerajaan sepatutnya membenarkan Parlimen dan DUN bersidang ketika darurat seperti dititahkan Yang di-Pertuan Agong.

 Proses semak dan imbang perlu dilaksana
Hanif juga berpandangan, negara mungkin tidak memerlukan kerajaan sehingga darurat tamat dan mencadangkan Agong melantik seorang penasihat untuk pengurusan negara.

“Kita tidak memerlukan perdana menteri ketika darurat. Ini dilakukan selepas (rusuhan) 1969. Kenapa kita memerlukan sebuah kerajaan dengan majoriti diragui yang akan menggunakan dana persekutuan tanpa sebarang pemantauan?” soal Haniffdipetik laporan itu.

Post a Comment

0 Comments