KERAJAAN Perikatan Nasional (PN) perlu membuka Parlimen sekiranya mereka berkeras enggan melaksanakan undi 18 seperti yang dituntut ramai pihak ketika ini.
Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil berkata, dengan cara itu Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu dipanggil ke Dewan Rakyat dan memberi penjelasan sebenar kepada semua Ahli Parlimen berhubung keputusan badan itu menangguhkan pelaksanaan undi 18 tahun.
“Kalau kerajaan enggan melaksanakan undi 18 dalam keadaan dia mempunyai kuasa darurat, saya minta mereka buka balik Parlimen.
“Biarkan kami tampil ke Parlimen untuk jemput Pengerusi SPR dan minta beliau jelaskan kepada semua Ahli Parlimen kenapa beliau ingin menangguhkannya. Walhal semua Ahli Dewan Rakyat telah bersetuju untuk melaksanakan (undi18),” katanya dipetik portal Malaysia Dateline.
Tambah Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) itu lagi, sama sekali tiada alasan kukuh untuk menagguhkan pindaan had kelayakan mengundi kerana kerajaan mempunyai kuasa darurat dan semua keupayaan untuk menguatkuasakan pindaan berkenaan.
Semalam, Fahmi Fadzil hadir di hadapan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Dang Wangi untuk bersolidariti selepas beberapa Ahli Parlimen Pakatan Harapan (HARAPAN) serta pemimpin belia diarahkan untuk hadir memberi keterangan.
![]() |
Fahmi gesa k'jaan PN buka Parlimen |