BEKAS hakim Mahkamah Persekutuan Gopal Sri Ram mahu prosiding penghinaan mahkamah dimulakan terhadap Presiden PAS Abdul Hadi Awang.
Gesaan itu susulan kenyataan Presiden PAS itu yang didakwa menghina keputusan panel Mahkamah Persekutuan berhubung kes seorang lelaki berusia 35 tahun dibawah Seksyen 28 enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 berhubung seks di luar tabii.
Sri Ram berkata, jelas daripada kenyataan Hadi itu bahawa beliau tidak membaca penghakiman Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat.
“Dengan penuh hormat, saya berpendapat, kenyataan beliau bersifat menghina mahkamah dan juga Perlembagaan Persekutuan. Serangan itu menunjukkan bahawa beliau sama sekali tidak menghormati kedaulatan undang-undang,” kata Sri Ram dipetik laporan FMT.
Pada 25 Februari, barisan sembilan hakim Mahkamah Persekutuan diketuai oleh Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara menyatakan Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 bercanggah dengan perlembagaan kerana badan perundangan negeri tidak mempunyai kelayakan untuk meluluskan undang-undang tersebut kerana ia sudah ada dalam Senarai Persekutuan.
Hakim mahkamah tertinggi itu berkata, kuasa utama untuk meluluskan undang-undang jenayah terletak pada Parlimen.
Presiden Mahkamah Rayuan Rohana Yusuf, Hakim Besar Malaya Azahar Mohamed, Ketua Hakim Sabah dan Sarawak Abang Iskandar Abang Hashim dan hakim Mahkamah Persekutuan Mohd Zawawi Salleh, Nallini Pathmanathan, Vernon Ong Lam Kiat, Zabariah Mohd Yusof dan Hasnah Mohammed Hashim turut menganggotai panel itu.
Hadi, dalam satu kenyataan yang disiarkan di Harakahdaily pada 4 Mac, tidak menamakan hakim tertentu tetapi merujuk kepada Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.
Ahli Parlimen Marang itu mendakwa ada orang “hilang sensitiviti agama” apabila membuat keputusan melibatkan kepentingan Islam, tanpa menggunakan budi bicara.
"Pada pandangan saya, kenyataannya sangat menghina mahkamah dan Perlembagaan Persekutuan. Serangannya menunjukkan ketidakpeduliannya sepenuhnya terhadap kedaulatan undang-undang.
“Jika Malaysiakini disabitkan kesalahan menghina mahkamah, maka situasi Hadi tidaklah lebih baik, malah mungkin lebih buruk.
“Tidak boleh ada pendekatan dwistandard dalam isu serangan terhadap tonggak utama kerajaan,” kata beliau.
Pada bulan Jun tahun lalu, Peguam Negara Idrus Harun memulakan prosiding penghinaan terhadap Malaysiakini susulan komen pembaca yang mengkritik badan kehakiman.
![]() |
Sri Ram dakwa Hadi hina Mahkamah |
Keputusan itu dibuat meskipun komen yang dipertikaikan itu dipadam dalam beberapa minit ditanda sebagai menyinggung, sesuai dengan garis panduan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
0 Comments