KETUA PEMBANGKANG, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersoalkan mengapa Malaysia belum mula meneroka pengeluaran vaksin Covid-19 sendiri.
Melalui satu kenyataan, Presiden KEADILAN itu merujuk kenyataan kerajaan sebelum ini bahawa pengeluar vaksin perlu berkongsi pengetahuan mereka dengan Malaysia, jika memeterai perjanjian untuk membeli produk mereka.
“Justeru, penting untuk rakyat dan negara tahu berapa cepatkah fasiliti pengeluaran vaksin ini akan dibangunkan,” kata Anwar.
Beliau turut mempersoal mengapa universiti tempatan serta badan penyelidikan tidak berada di barisan depan dalam mengkaji serta membangunkan vaksin.
Merujuk kepada Penularan virus Nipah pada 1998 hingga 1999, Anwar menegaskan bahawa negara sebenarnya mempunyai kepakaran dalam membangunkan penawar.
“Kita punyai pengalaman dalam membangunkan penawar bagi virus Nipah sebelum ini, dan ia membuktikan kita mempunyai keupayaan bagi mengkaji, menyelidik dan membangunkan vaksin.” tegasnya.
Duta Rusia ke Malaysia, Naiyl M Latypov sebelum ini dilaporkan berkata, negaranya menawarkan perkongsian kepakaran dan pengetahuan dengan Malaysia.
Rusia mengeluarkan vaksinnya sendiri, Sputnik V, di mana Malaysia bakal menerima 10 juta dos.
Difahamkan, di rantau ini hanya Vietnam, Thailand dan Indonesia menghasilkan vaksin, namun ia lebih tertumpu kepada kegunaan dalam negara mereka sendiri.
September lalu, Presiden Indonesia Joko Widodo mengumumkan bahawa negara itu telah
menetapkan rancangan untuk memulakan pengeluaran vaksin Covid-19 sendiri pada
pertengahan 2021, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA).
Dalam perkembangan berkaitan, Anwar bertanyakan apa usaha yang telah dilakukan kerajaan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat umum kepada peri penting mengambil suntikan vaksin tersebut.
Malah beliau turut membangkitkan isu 1.4 juta orang yang mendaftar melalui aplikasi MySejahtera yang tidak mendaftarnya dengan lengkap.
“Apa langkah kerajaan setakat sekarang dalam menyelesaikan masalah ini?
"Saya percaya ia sepatutnya diurus dengan lebih baik dan cekap. Isu-isu penting sekitar hal vaksin ini harus segera didepani.
![]() |
Apa usaha k'jaan bangkit kesedaran rakyat? |
“Sudahkah kerajaan mengenal pasti atau sudahkah kerajaan fikirkan bagaimana untuk meningkatkan kesedaran rakyat tentang vaksin dan juga isu keselamatan vaksin, memandangkan terdapat juga kumpulan yang mempunyai kegusaran terhadap vaksin," ujarnya.
Ahli Parlimen Port Dickson itu turut menggesa kerajaan meningkatkan ketelusan dalam proses membuat keputusan berhubung pembelian vaksin kerana pembayar cukai berhak tahu bagaimana RM3 bilion dibelanjakan.
0 Comments