LAGI kumpulan kumpulan hak asasi membuat gesaan supaya kerajaan menarik balik ordinan darurat berhubung berita palsu.
Kumpulan itu yang menggelar diri mereka sebagai Artikel 19 menyifatkan penguatkuasaan ordinan itu boleh menyebabkan penahanan semberono ke atas individu yang didakwa menyebarkan maklumat tidak tepat.
“Ordinan itu menyatakan bahawa kerajaan, polis dan mana-mana 'pegawai yang diberi kuasa' yang bertindak 'dengan niat baik' akan 'kebal' dari sebarang pendakwaan atau prosiding.
“Semua kesalahan yang ditetapkan dalam peraturan itu merupakan satu kesalahan besar, yang bermaksud polis boleh menangkap suspek tanpa waran. Kemungkinan penahanan sewenang-wenang tanpa akses amat membimbangkan," kata mereka dalam kenyataan.
Selain itu, Article 19 juga menjelaskan, ordinan 'berita palsu' membatasi cabaran undang-undang kerana individu yang dikenakan perintah mahkamah untuk membuang kandungan mungkin tidak dapat memohon untuk mengetepikan perintah itu.
“Definisi (berita palsu) ini dalam skop luas, menjadikan ia tidak sesuai dengan perintah perundangan serta membataskan hak kebebasan bersuara di bawah undang-undang hak asasi manusia antarabangsa,” jelas mereka,
Untuk rekod, Article 19 adalah organisasi hak asasi manusia yang ditubuhkan pada tahun 1987 dan berpusat di London.
Ia memfokuskan isu kebebasan bersuara dan kebebasan maklumat di seluruh dunia dengan kerjasama hampir 100 organisasi di lebih 60 negara di seluruh dunia.
Tindakan kerajaan memperkenalkan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No. 2) 2021 mendapat tentangan banyak pihak termasuk badan kewartawan dalam dan luar negara serta pertubuhan hak asasi.
Sementara itu kumpulan tersebut mengingatkan, pengenalan Ordinan itu bukan cara yang wajar dilakukan oleh pihak berkuasa untuk megekang berita palsu berhubung Covid-19.
“Boleh menggunakan cara jangka panjang seperti mempromosikan media dan literasi digital, menerapkan (kesan berita palsu) dalam subjek sekolah, dan libat urus bersama masyarakat,” tambah Article 19.
Untuk rekod, Ordi nan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No. 2) 2021, yang berkuatkuasa pada 12 Mac memperuntukkan denda hingga RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan menyebar "berita palsu" berkaitan pengisytiharan darurat dan Covid -19.
Menurut Seksyen 10 ordinan tersebut, undang-undang ini melangkaui Akta Keterangan 1950, yang merupakan undang-undang dasar mengenai pengendalian bukti bagi kes-kes jenayah biasa.
Sebaliknya, ordinan tersebut memberikan definisi tersendiri mengenai bagaimana sesuatu bukti dikendalikan di mahkamah.
![]() |
Penguatkuasaan ordinan baru dikritik ramai |
Dalam kenyataan tersebut juga, Artikel 19 turut menggesa pembukaan sidang Parlimen secepatnya supaya ordinan terbabit dapat dinilai semula.
0 Comments