SETIAUSAHA DAP Sabah, Chan Foong Hin mendedahkan ada gerakan sedang diatur bagi memujuk wakil rakyat parti itu di Sabah meninggalkan parti.
Dipetik laporan FMT, Ahli Perlimen Kota Kinabalu itu mendakwa, ejen tersebut yang termasuk “pemimpin perniagaan terkenal”, cuba meyakinkan mereka bagi menubuhkan sebuah parti Cina tempatan baru yang seterusnya menyokong Perikatan Nasional (PN) melalui Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
“Memang benar ada ramai orang tengah atau ejen yang menghubungi beberapa wakil rakyat kami untuk meyakinkan mereka keluar parti.
“Saya tidak akan sebut wakil rakyat mana atau siapa ejen ini.
“Tetapi alasan mereka ialah tiada wakil rakyat Cina dalam Kabinet negeri, jadi GRS memerlukan seseorang yang boleh mewakili masyarakat Cina," katanya menurut laporan itu.
Beliau mengulas dakwaan di media sosial yang mendakwa pemimpin DAP Sabah mengadakan pertemuan rahsia dan sedang berbincang untuk membentuk parti baru yang akan menyokong gabungan kerajaan negeri.
“Cerita sebegini sangat hangat di pasaran sekarang. Ramai yang bercakap mengenainya dan saya tidak menolak kemungkinan seseorang sedang mereka cerita itu.
“Tidak benar DAP Sabah mengadakan pertemuan rahsia dengan seorang pemimpin tertinggi GRS. Jika ada sebarang pertemuan sekali pun, ia secara dasarnya dibuat atas kapasiti mereka sebagai wakil rakyat," tegasnya sambil menolak dakwaan ahli partinya mempertimbangkan idea penubuhan parti baru dan mengadakan “pertemuan rahsia” dengan GRS atas tujuan melompat parti.
Mengulas lanjut desas desus lompat parti Chan berkata, dakwaan itu hanya cubaan pesaing politik untuk menyebabkan pembangkang tidak stabil dan mengalih perhatian daripada isu politik semasa.
“Semua orang tahu Umno dan Bersatu tidak berada dalam keadaan baik di peringkat nasional. Jadi, walaupun GRS berkata mereka masih utuh ketika kekecohan berlaku di Semenjung, politik sentiasa dinamik.” jelasnya.
![]() |
Wakil Rakyat DAP sabah tetap setia |
Beliau menegaskan enam ADUN dan tiga Ahli Parlimen DAP berdiri teguh bersama Warisan Plus, yang terdiri daripada pakatan longgar antara Warisan, KEADILAN, Amanah dan Upko, selain DAP.
0 Comments