Majlis Presiden dakwa agensi kerajaan digunakan untuk lemahkan HARAPAN

 

ADA usaha menggunakan agensi kerajaan untuk menekan Ahli Parlimen pembangkang agar menyokong Perikatan Nasional (PN),, dakwa Pakatan Harapan (HARAPAN).

Melalui satu kenyataan, Majlis Presiden gabungan itu berkata, mereka difahamkan ada antara agensi itu diperalat sebagai 'senjata politik' bertujuan menekan wakil rakyat pembangkang, pegawai malahan ahli keluarga mereka.

"Pada waktu ini, kami difahamkan tindakan-tindakan masih terus dilakukan bersekali dengan tekanan untuk ahli-ahli Parlimen pembangkang menyatakan sokongan terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

"Dari segi prinsip, kami menyokong sebarang tindakan yang berlandaskan hukum dan undang-undang.

"Tetapi sebarang penyalahgunaan institusi atau agensi dengan niat untuk mengganggu, menekan atau menakut-nakutkan musuh politik langsung tidak boleh diterima," tegas kenyataan ditandatangani Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Mereka turut mendakwa tekanan turut diberikan terhadap Lim dan isterinya, malah terhadap Larry Sng (Julau) dan Steven Choong (Tebrau) yang mengumumkan menyokong Muhyiddin baru-baru ini.

Ahli Parlimen Kuala Langat Xavier Jayakumar juga dakwa mereka turut ditekan "secara tidak langsung"

untuk rekod, pada  27 Feb lalu, Setiausaha Agung KEADILAN Saifuddin Nasution Ismail mendakwa ada langkah terancang oleh "pihak tertentu" untuk melemahkan kekuatan wakil rakyat pembangkang.

Tanpa mengulas lanjut berkenaan pihak yang dimaksudkannya, Saifuddin mendakwa ia dibuat menerusi ugutan dan umpan habuan "samada berkait isu cukai pendapatan, siasatan polis dan SPRM atau melalui tawaran projek dan jawatan dalam GLC".

Pada Khamis, Ahli Parlimen Sekijang daripada KEADILAN, Natrah Ismail mendedahkan telah dikunjungi dua individu yang bertanya sama ada dia berminat untuk menyokong Muhyiddin serta manfaat yang akan diperolehinya.

Natrah yang enggan berpaling dari perjuangan reformasi sebaliknya menegaskan bahawa beliau tidak berminat untuk menyokong Muhyiddin.

 HARAPAN kutuk guna agensi sebagai 'senjata politik'
Dalam pada itu, Majlis Presiden HARAPAN dalam kenyataan tersebut berkata persaingan politik di negara ini wajib berlaku dalam suasana sihat dengan amalan demokrasi berdasarkan Perlembagaan Persekutuan.

"HARAPAN mengecam sekeras-kerasnya penggunaan agensi sebagai ‘senjata politik’, terutama bagi tujuan menambah sokongan kerajaan minoriti PN," katanya lagi.

Post a Comment

0 Comments