Lucu..Zoo dibuka, tapi Parlimen tidak - Azan


ALASAN diberikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan untuk menjustifikasikan pendirian kerajaan mengenai sidang Parlimen terus dikritik.

Pengerusi KEADILAN Terengganu Azan Ismail berkata, beliau merasa hairan dengan keengganan kerajaan mengadakan sidang tersebut dengan memberi alasan yang menurutnya tidak masuk akal.

“Dari segala sudut ia tidak masuk akal. Vaksin Covid-19 sudah diberikan kepada anggota parlimen menerusi fasa pertama (Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan) jadi mengapa timbul isu golongan berisiko pula?” katanya dipetik Malaysiakini.

Penangguhan persidangan parlimen itu juga kata Azan secara jelas memaparkan kegusaran kerajaan Perikatan Nasional (PN) berhubung sokongan sebenar yang mereka terima ketika ini.

“Saya rasa ini berhubung isu sokongan semata-mata dan itu menambah jelas keadaan kerajaan mengelak sebarang kejadian yang tidak mereka ingini,” tambah bekas Ahli Parlimen Indera Mahkota itu lagi.

Mengulas lajut, Azan berkata apa yang berlaku kini mengambarkan bahawa kerajaan PN tidak mengutamakan hal penting semasa membuat keputusan berhubung pembukaan sesuatu sektor.

Hal itu katanya dapat dilihat apabila kerajaan memberi kebenaran operasi kepada Zoo Negara namun sebaliknya kekal menangguhkan persidangan parlimen.

“Adakah zoo lebih penting daripada parlimen sedangkan dalam Dewan Rakyat itulah tempat untuk kita membincangkan isu rakyat.

“Tetapi (parlimen) tidak dibuka, zoo pula dibuka. Ini memang kelucuan tahap tinggi," ujarnya.

 Keputusan tak buka Parlimen dianggap lucu
Untuk rekod, disebalik keenganan kerajaan memanggil sidang parlimen, kerajaan melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah membenarkan Zoo untuk dibuka kepada pengunjung bermula 5 Mac ini.

Tidak ketinggalan, aktiviti penggambaran dan pawagam juga dibenarkan beroperasi mengikut SOP perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).



Post a Comment

0 Comments