Jangan jadikan Inisiatif CERDIK beban kepada pelajar - Mahasiswa Harapan


KUMPULAN
aktivis yang menggelar diri mereka Mahasiswa Harapan melahirkan rasa kecewa apabila mendapat tahu 150,000 komputer riba yang dijanjikan kerajaan kepada pelajar melalui Belanjawan 2020 hanya akan diberi dalam bentuk pinjaman.

Melalui satu kenyataan, mereka turut mempersoalkan beberapa persoalan terutama berkenaan denda yang bakal dikenakan sekiranya berlaku kerosakan pada komputer tersebut.

"Mahasiswa Harapan ingin mempersoalkan apakah justifikasi pihak kerajaan yang tidak memaklumkan secara telus mengenai pemberian komputer riba yang dibuat secara skim pinjaman yang dilengkapi dengan denda RM300 sekiranya berlaku kerosakan.

"Skim ini dilihat sebagai menambahkan lagi liabiliti mahasiswa yang sudah tersepit dengan keadaaan ekonomi semasa," katanya mereka.

Menurut laman web "Inisiatif CERDIK”, hanya pelajar dari sekolah terpilih di Kedah, Lembah Klang, Johor, Kelantan, Sabah dan Sarawak yang akan mendapat manfaat tersebut.

Sebelum ini, laman web “Inisiatif CERDIK” melalui bahagian FAQ memaklumkan mengenai denda RM300 bagi mereka yang merosakkan komputer riba yang dipinjam.

Namun, bahagian itu dikemas kini dan kini ia menyatakan "pembayaran minimum" dikenakan sekiranya berlaku kerosakan atau kehilangan peranti.

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebelum ini turut mempersoalkan mengapa komputer riba tersebut yang awalnya dijanjikan ditukar kepada skim mirip pinjaman buku teks.

Sementara itu dalam kenyataan sama, Mahasiswa Harapan turut mempersoalkan status insentif RM100 kepada mahasiswa melalui program e-belia yang akan dikreditkan melalui sistem e-wallet.

Menurut mereka, pemberian tersebut sepatutnya diberikan pada Februari lalu tetapi tiada sebarang perkembangan mengenainya sehingga kini.

Kerajaan jangan beri alasan , tegas kumpulan itu
"Mahasiswa Harapan menuntut agar pihak kerajaan jangan sesekali cuba untuk mencipta alasan bagi melambatkan proses pemberian bantuan yang telah diperuntukkan dan segera memberikan penjelasan mengenai status terkini pemberian bantuan tersebut," katanya dalam kenyataan.


Post a Comment

0 Comments