KERAJAAN perlu memastikan kepentingan rakyat Malaysia menjadi keutamaan dalam pengendalian dasar luar negara, kata bekas Menteri Pertahanan dan bekas timbalannya.
Mohamad Sabu dan Liew Chin Tong dalam satu kenyataan bersama yang disiarkan hari ini berkata, nyawa anggota tentera negara juga tidak boleh digadaikan semata-mata untuk kepentingan politik.
Mereka membuat kenyataan itu sebagai merujuk operasi ketenteraan di luar negara.
“Malaysia tidak sewajarnya terperangkap dalam mana-mana operasi ketenteraan di luar negara yang tidak diberi mandat jelas daripada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
“Dalam usaha beliau (Perdana Menteri Muhyiddin Yassin) melestarikan hubungan antara Malaysia dan Arab Saudi, kami harap Malaysia tidak akan terlibat sekali lagi dalam perang di Yaman,” katanya.
Kenyataan itu dibuat susulan lawatan rasmi Muhyiddin ke Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) minggu ini.
Dalam kenyataan itu juga, mereka mengingatkan bahawa walaupun Malaysia dan Arab Saudi mempunyai hubungan yang erat, namun pengendalian hubungan ini mestilah berteraskan prinsip neutraliti Malaysia.
“Malangnya prinsip ini telah diabaikan oleh Menteri Luar Hishammuddin Hussein (ketika itu), enam tahun yang lalu apabila beliau secara langsung telah melibatkan Malaysia dalam operasi ketenteraan ketika Perang Saudara Yaman.
“Dalam memo dalaman antara Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik Kementerian Pertahanan dan Markas Angkatan Tentera, kerajaan telah dinasihatkan bahawa penglibatan ATM dalam perang di Yaman akan menjejaskan imej Malaysia di persada antarabangsa sebagai negara neutral.
“Malah, ia bercanggah juga dengan gerakan Global Movement of Moderates yang diangkat oleh mantan Perdana Menteri ketika itu,” kata mereka lagi.
Malaysia tegas kedua-dua mereka hanya akan diaturgerakkan anggita tentera ke luar negara untuk operasi pengamanan di bawah naungan PBB.
Justeru mereka sekali lagi mengingatkan agar ketumbukan tentera dilibatkan dengan mana-mana operasi ketenteraan yang tidak perlu.
“Imej ATM di persada antarabangsa ini cukup membanggakan kita dan sewajarnya tidak dicemarkan,” tegas mereka.
Untuk rekod, pada 2018 Mohammad Sabu memutuskan untuk memanggil balik tentera Malaysia yang ditempatkan di Arab Saudi.
![]() |
Malaysia perlu kekal jadi negara berkecuali |
Kehadiran ATM di negara berkenaan sejak 2015 jelasnya secara tidak langsung menyebabkan Malaysia terperangkap dengan konflik di Timur Tengah.
0 Comments