SATU laporan polis telah dibuat DAP Perak terhadap Takiyuddin Hassan kerana mengeluarkan kenyataan yang bertentangan dengan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Naib Pengerusinya, Dr Abdul Aziz Bari berkata, siaran akhbar oleh Istana Negara pada 24 Februari lalu, Yang di-Pertuan Agong jelas menitahkan tidak memberi halangan untuk sidang Parlimen diadakan ketika darurat.
Justeru tegasnya, kerajaan tidak sepatutnya memberikan sebarang alasan untuk mengelak memanggil sidang Parlimen ketika ini.
"Kerajaan nampaknya memang tidak mahu memberikan nasihat kepada Istana Negara untuk mengadakan sidang Parlimen dan ini bertentangan dengan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa) 2021 itu sendiri.
"Ini (laporan polis) salah satu usaha kita. Kita mulakan dan kita harap yang lain akan buat bagi memberikan kesedaran kepada rakyat," katanya selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh pada Selasa.
Sebagai rekod, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan pandangan bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuat kuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka Baginda atas nasihat Perdana Menteri.
Namun pada 3 Mac lalu, kerajaan memutuskan bahawa masih tiada lagi keperluan untuk sidang Parlimen diadakan ketika tempoh darurat.
Takiyuddin yang merupakan menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) berkata, Jemaah Menteri membuat keputusan tersebut setelah mengambil kira beberapa faktor merangkumi aspek perundangan dan kesihatan
Kerajaan perikatan Nasional yang dikepalai Muhyiddin Yassin didesak supaya mengadakan Sidang Parlimen, Muhyiddin sebelum itu mengumumkan penangguhan sidang Parlimen sehingga 1 Ogos depan.
Ahli Parlimen dari blok pembangkang dan sebahagian dari Umno mendesak supaya sidang diadakan bagi membincangkan isu berkepentingan rakyat.
Ada dakwaan Muhyiddin tidak mahu mengadakan sidang parlimen kerana sedang berdepan defisit sokongan dikalangan Ahli Dewan.
Sementara itu, Abdul Aziz yang merupakan seorang pakar perlembagaan berkata, kerajaan boleh mendapatkan nasihat daripada pakar-pakar termasuk Kementerian Kesihatan untuk meneruskan sidang Parlimen kerana sekolah juga sudah dibuka.
Katanya, jika tidak sesuai diadakan di bangunan Parlimen mungkin boleh dipertimbangkan lokasi lain asalkan boleh bersidang.
![]() |
K'jaan didakwa tak mahu adakan sidang Parlimen |
"Semua Ahli-ahli Parlimen pembangkang tak ada masalah nak bersidang, yang ada masalah sekarang ini adalah kerajaan," katanya.
0 Comments