'Doc Malan' hero ragbi negara meninggal dunia


BEKAS pemain ragbi kebangsaan, Dr Mazlan Ismail dilapor meninggal dunia akibat serangan strok pada jam 12.58 tengah malam tadi.

Menurut laporan Bernama, Allahyarham yang berusia 38 tahun menghembuskan nafas terakhir di Pusat Perubatan Universiti Malaya setelah dimasukkan ke pusat perubatan itu.

Adik Allahyarham Muhammad Naimmi Ismail, 31 yang mengesahkan berita itu memaklumkan, jenazahnya dijadualkan dikebumikan di Taiping, Perak hari ini.

“Allahyarham telah menerima rawatan di hospital sejak Januari lepas selepas kesihatannya merosot, pihak hospital juga memberitahu keluarga kami bahawa arwah kena serangan jantung minggu lepas.

“Allahyarham merupakan seorang yang sangat komited dan tegas dalam kerjanya. Walaupun telah lama meninggalkan dunia ragbi, namun Allahyarham masih aktif dengan sukan kegemarannya itu, apabila sering bermain dan memberi tips berkaitan psikologi kepada ahli kelab ragbi Cobra Malaysia,” katanya dipetik.

Wakili negara ke sukan komanwel dan sukan Asia
Terkenal dengan jolokan ‘Doc Malan’ dalam komuniti ragbi tanah air, Allahyarham pernah mewakili negara bersama pasukan ragbi 7 sebelah di Sukan Komanwel di Manchester, England pada 2002 dan Sukan Asia Busan di Korea Selatan pada tahun sama, selain pernah menyarung jersi skuad 15 sebelah negara.

Berkhidmat sebagai Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar di Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi di Universiti Teknologi Mara Shah Alam, Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Azlina Mohd Ariff, 44.

 

Post a Comment

0 Comments