AMK tuntut k'jaan bersikap lebih terbuka kepada 'whistleblower'


KERAJAAN
dituntut agar mengambil sikap lebih terbuka dan inklusif terhadap pemberi maklumat yang mendedahkan sekiranya terdapat usaha memotong giliran mendapatkan vaksin Covid-19.

Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Akmal Nasir membuat gesaan itu susulan kenyataan Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang melarang petugas kesihatan membuat kenyataan umum.

Ia dipercayai ada hubung kait dengan perkongsian doktor perunding dan ahli nefrologi Dr Rafidah Abdullah  yang memaparkan tangkap layar mesej yang diterima beliau daripada individu yang tidak ingin dikenali  yang mendakwa bahawa ada pegawai dari pejabat setiausaha kerajaan negeri (SUK) berusaha untuk memotong barisan vaksinasi Covid-19.

“Apabila terdapat petugas kesihatan yang memilih untuk membuat kenyataan umum dengan disertai lampiran bukti-bukti tanpa mendedahkan identiti mereka, ini merupakan isyarat bahawa mereka tidak yakin terhadap keberkesanan kerajaan melindungi identiti mereka yang membuat pendedahan.

“Oleh itu, kerajaan digesa mengambil sikap lebih terbuka dan inklusif terhadap whistleblower (penyalur maklumat) serta proaktif melindungi identiti mereka yang juga merupakan petugas barisan hadapan.

“Sebagai petugas barisan hadapan yang telah bertungkus lumus lebih setahun bagi mengekang penularan wabak ini, sudah pasti mereka lebih sensitif terhadap sebarang tindakan yang bertentangan dengan nilai dan etika,” katanya dalam kenyataan.

Difahamkan, Mesej itu mendakwa suntikan vaksin Covid-19 kepada doktor, jururawat dan petugas barisan hadapan yang tersenarai awal sebagai penerima terpaksa ditangguhkan untuk memberi ‘laluan’ kepada 200 ahli SUK di sebuah negeri.

Bagaimanapun, seorang pemimpin dari kerajaan negeri terbabit mendakwa dakwaan individu itu tidak benar.

Sementara itu Akmal yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru berkata kenyataan yang dikeluarkan KKM itu secara tidak langsung akan menimbulkan kegusaran dan memberi tekanan kepada pemberi maklumat untuk mendedahkan ketirisan dalam tindakan yang digerakkan kerajaan.

 Gertakan tak bantu kekang ketirisan
“Sebarang kenyataan yang berbaur amaran atau gertakan sebegini amat tidak membantu kepada usaha mengekang ketirisan dalam pelaksanaan program vaksinasi ini.

“Teguran petugas kesihatan melalui saluran mana sekali pun perlu diberi perhatian dan disusuli dengan siasatan yang adil sebagai  suatu penghargaan kepada petugas barisan hadapan yang telah memberikan komitmen baik selama ini," katanya lagi.

 

Post a Comment

0 Comments